SUNGAI PETANI 5 Feb. – Dalam kemeriahan masyarakat Tionghoa menyambut kedatangan Tahun Baharu Cina, pasti ada antara mereka yang terpaksa meraikannya dalam suasana sederhana.
Salah seorang mereka ialah wartawan China Press Cawangan Sungai Petani di sini, Goon Fook Theang, 53, dari Kampung Tebu, Pekan Lama di sini.
Katanya, dia meraikan kedatangan Tahun Baharu Cina secara sederhana kerana bagi menghormati pemergian bapanya, Goon Siew Weng, 88, yang meninggal dunia akibat sakit tua pada 2017.
“Mengikut kepercayaan masyarakat Cina, mereka yang kehilangan ahli keluarga, terutama bapa, tidak boleh meraikan acara hiburan berlebihan termasuk Tahun Baharu Cina selama tiga tahun,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Menurutnya, sambutan Tahun Baharu Cina kali ini adalah tahun kedua dia, isteri, Tan Saw Ping, 45, dan empat orang anak meraikannya secara sederhana.
“Meskipun demikian perayaan tetap diteruskan seperti biasa dengan acara makan besar dan kunjung-mengunjung antara sanak-saudara dan rakan-rakan.
“Kalau ada mendiang bapa, sambutan berbeza dengan seluruh anak-anak dan saudara-mara akan berkumpul di rumah ini (peninggalan bapa) untuk menikmati jamuan makan besar.
“Tetapi keadaan sekarang berbeza, adik beradik yang berada jauh sudah tidak balik, cuma yang berdekatan sahaja (balik),” katanya lagi.
Kata Fook Theang, apabila tiba Tahun Baharu Cina, rumahnya akan dikunjungi rakan-rakan yang terdiri daripada pelbagai kaum.
“Saya menghidangkan minuman dan kuih-muih tradisional masyarakat Cina dan paling popular ialah kuih kapit dan kemudian memberi Angpau kepada tetamu yang hadir ke rumah,” katanya.
Dia memberitahu, setiap kali sambutan, dia teringatkan jiran lamanya berbangsa Melayu yang pasti akan mengunjungi rumah bapanya itu pada setiap tahun.
“Sekarang ramai dalam kalangan mereka sudah berpindah ke tempat lain dan membeli rumah baharu,” katanya. – UTUSAN ONLINE










