KUALA LUMPUR 1 Feb. – Suasana sedikit lengang di pusat bandar raya mungkin disebabkan ramai mengambil kesempatan pulang ke kampung halaman masing-masing sempena cuti umum Hari Wilayah Persekutuan hari ini.
Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa lokasi tumpuan mendapati suasana tidak sesibuk berbanding hari biasa.
Rata-rata warga kota sudah mengambil cuti panjang bermula daripada cuti umum Hari Wilayah Persekutuan, cuti hujung minggu seterusnya cuti umum sempena Tahun Baharu Cina pada 5 dan 6 Februari depan.
Bagaimanapun, di pusat beli-belah sekitar ibu negara masih ada kaum Cina sibuk membuat persiapan membeli barangan keperluan pada saat akhir.
Penambahan jumlah kenderaan keluar dari pusat bandar raya menuju ke Tol Jalan Duta dan Tol Gombak juga dilihat semakin meningkat sejak awal pagi dan aliran trafik semakin lancar menjelang lewat petang. – UTUSAN ONLINE











