KUALA LUMPUR – Perbuatan biadap seorang warga emas yang membuat naik karikatur dan menghantar komunikasi jelik menghina Nabi Muhammad S.A.W membawa padah apabila dia didakwa di Mahkamah Sesyen di sini sebentar tadi.
Bagaimanapun tertuduh Wai Foo Sing, 68, mengaku tidak bersalah selepas dua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim M.M Edwin Paramjothy.
Mengikut pertuduhan pertama tertuduh didakwa didakwa memuat naik karikatur yang dikatakan menghina Nabi Muhammad S.A.W dan isteri baginda Saidatina Aisyah melalui aplikasi Facebook miliknya ‘Foo Sing Wai’ dimana tindakan tersebut berkemungkinan menyebabkan suasana tidak harmoni atas diantara kumpulan orang yang beragama Islam dan bukan beragama Islam di seluruh negara.
Bagi pertuduhan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 298A(1)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun jika sabit kesalahan.
Sementara bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa secara sedar memulakan penghantaran komunikasi jelik itu dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.
Perbuatan kedua itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang membawa hukuman denda RM50,000 atau penjara setahun jika sabit kesalahan.
Kedua-dua perbuatan tersebut dilakukan tertuduh di laman Facebooknya pukul 5 petang pada 17 Februari lalu yang kemudian telah dibaca pada 18 Februari di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu pejabat Polis Bukit Aman, Tingkat 27, Menara KPJ di sini.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Asyraf Md. Kamal tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh atas alasan ia bukan kesalahan yang boleh dijamin.
Bagaimanapun, sekiranya mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin, pihak pendakwaan mencadangkan jaminan sebanyak RM30,000.
“Ini kerana kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah serius. Jaminan yang ditawarkan ini tidak melampau kerana mengambil kira perbuatan yang dilakukan selain juga mendapat perhatian masyarakat kerana ia membabitkan agama dan Nabi Muhammad, ” kata Muhamad Ashraf.
Tambahnya, sekiranya jumlah jaminan yang ditetapkan pada kadar yang rendah, bimbang boleh memberi persepsi negatif kepada orang awam terhadap sistem kehakiman.
Dalam pada itu Foo Sing, yang tidak diwakili peguam memohon supaya dibenarkan ikat jamin termasuk jumlah jaminan yang rendah atas alasan dia tidak bekerja dan mempunyai masalah kesihatan. – K! ONLINE










