KUALA PILAH – Seorang wanita warga emas berusia 72 tahun maut selepas kereta dipandunya terlibat dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 4 Jalan Ampang Tinggi- Kuala Pilah petang tadi.
Dalam kemalangan kira-kira pukul 3.50 petang itu, mangsa, Ramalah Ablasani@Abdullah maut selepas keretanya berlanggar dengan sebuah kereta jenis Perodua Myvi dan sebuah kereta jenis Proton Iswara di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Haslah Bachok berkata, mangsa memandu kereta jenis Perodua Kancil semasa kemalangan itu berlaku.
“Pemandu Perodua Myvi iaitu seorang wanita berusia 27 tahun mengalami kecederaan ringan, manakala lelaki berusia 31 tahun yang memandu Proton Iswara tidak cedera.
“Mayat mangsa yang maut dihantar ke Hospital Kuala Pilah bagi tujuan bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan kepada pemberita hari ini.
Haslah berkata, siasatan awal polis mempercayai kemalangan berlaku apabila kereta Perodua Kancil yang sedang bergerak dari arah Ampang Tinggi menuju ke arah Kuala Pilah hilang kawalan di lokasi kejadian.
Kata beliau, kejadian tersebut menyebabkan Perodua Kancil itu terbabas ke laluan arah bertentangan lalu melanggar dua buah kenderaan lain yang sedang menggunakan laluan itu.
“Kes disiasat dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya. – K! ONLINE










