GOSIP panas yang mengaitkan pelakon Zul Ariffin dengan seorang wanita berasal dari Ukraine kembali menjadi bahan bualan ramai selepas kali terakhir diperkatakan pada tahun lepas.
Kalau mengikut pada kronologi cerita, kononnya wanita yang dikenali dengan nama Tanya Hlembotska itu adalah kekasihnya baharunya selepas hubungan cintanya dengan pelakon Zahirah McWilson putus di tengah jalan.
Namun apa yang peliknya, walau diasak berkali-kali oleh pihak media bagi mendapatkan kepastian, Zul dilihat lebih selesa bermain tarik tali.
Terbaharu, ketika hadir menjayakan tayangan perdana filem Misteri Dilaila di Damansara Perdana, Selangor tempoh hari, Zul diasak dengan pertanyaan sama ada benar dia sudah berkahwin dengan Tanya.
Ini kerana sekitar awal tahun lalu, tersebarnya gambar Zul bersama Tanya yang dimuat naik dalam Instagram milik wanita berkenaan yang turut menyaksikan dia mengaku aktor tersebut adalah suaminya.
Sekali lagi tidak mengiyakan atau menidakkan hubungannya dengan Tanya, reaksi Zul mengundang pelbagai persepsi daripada peminat dan pemerhati dunia seni.
Ada yang meluat dengan kenyataan Zul apabila dia cuma menganggap perkara itu umpama satu bahan jenaka kerana baginya, perkataan itu tidak membawa apa-apa makna yang serius
“Kalau mengharapkan saya untuk membuat satu kenyataan rasmi mengenai sejauh mana hubungan kami, itu tidak akan pernah berlaku.
“Bagi saya orang di luar sana bebas berfikir dan menilai sendiri. Tentang Tanya menganggap saya suaminya? Itu pun saya tak tahu nak katakan apa.
“Boleh saja anggap macam sesetengah orang selesa dengan panggilan B, Baby atau sebagainya,” katanya sinis.
Tanya syok sendiri?
Mengaitkan logik di mana wanita hanya akan berbuat begitu dengan lelaki yang benar-benar mencuri hatinya, Zul dilihat masih bermain tarik tali.
Sememangnya sengaja mahu membiarkan hubungan itu terus menjadi satu teka-teki, aktor ini bagaimanapun memberi kenyataan seakan-akan tidak mahu wanita itu merasa dimalukan.
“Saya tak kata dia obses, syok sendiri mahupun bertepuk sebelah tangan,” katanya ringkas.
Mengulas isu wanita berkenaan mencacah nama Zul di jarinya, aktor ini segera menjawab perbuatan itu tiada kaitan dengannya.
“Itu bukan hal saya. Sesetengah orang mungkin suka mencacah nama atau nombor kad pengenalan kita di dahinya sekali pun, siapa saya untuk menghalang kebebasan mereka?
“Malah, kalau dia mahu mengenal agama lain sekali pun, itu hak dia. Apa yang boleh dikatakan, karier saya sebagai seorang aktor di Malaysia dan di sini agak keras sedikit apabila ia berkaitan dengan gosip dan kontroversi.
“Jadi saya harap jangan buat sesuatu yang boleh menjejaskan karier saya. Jujurnya ini bukan pertama kali orang melakukan sesuatu yang menjejaskan karier saya,” tambahnya.
Penakut
Dalam pada itu, berkongsi mengenai penglibatannya dalam filem Misteri Dilaila, Zul memuji gaya pengarahan dan kreativiti Syafiq Yusof.
Kali pertama bekerjasama dengan Syafiq, Zul menyifatkan anak Datuk Yusof Haslam itu berani mengambil risiko menghasilkan naskhah yang jarang diangkat dalam dunia perfileman tempatan.
“Kebanyakan pembikin filem kita mungkin tak berani buat genre psiko thriller atas banyak faktor. Mungkin juga kerana mereka takut ia tidak begitu komersial.
“Iyalah, buat filem ni umpama buka kedai makan. Kalau orang tak datang makan, jangan salahkan kenapa orang tak datang, tetapi kena tengok apa yang kurangnya di dapur kita,” katanya.
Mengaku seorang yang penakut, terlibat dalam filem genre ini merupakan satu keberanian yang diambil oleh Zul.
Menurutnya, Syafiq telah membuat keputusan yang tepat dengan mengambil pelakon sepertinya.
“Memang saya penakut, bukanlah takut hantu tetapi mudah rasa terkejut memandangkan cerita seperti ini banyak menggunakan elemen suspen.
“Kalau ambil pelakon berani sangat nanti tak jadilah cerita seram,” selorohnya.
Kekasih jadi bahan kecaman
Melihat kepada satu luahan perasaan yang dibuat oleh Tanya dalam Instagram miliknya pada salah satu gambar yang dimuat naik, Zul turut memberi respons mengenainya.
Menerusinya, Tanya dilihat berang dan kecewa dengan sesetengah komen yang diterima mengenai hubungannya dengan Zul dan menganggap segelintir rakyat Malaysia cuba memalukan dirinya.
Bahkan Tanya dilihat kesal dengan komen negatif yang menghina pemakaiannya dan menganggap dirinya bukan Melayu mahupun beragama Islam.
“Jujurnya, sesetengah orang tak tahu macam mana Malaysia punya tahap kecaman. Sebagai pelakon, saya dah lama berdepan dengan perkara ini.
“Jadi dalam hal ini, saya kena neutral. Bagi saya, pandai-pandailah. Siapa suruh gatal sangat (muat naik)? Kan dah kena kecam.
“Saya kena kecam tak ada masalah. Yang kena kecam dia, jadi rasakanlah! Sekarang nak respons macam mana pula? Belajarlah daripada kesilapan,” kata Zul pedas.
Dalam pada itu, ditanya sama ada sudah ada perancangan mahu segera berkahwin dengan wanita tersebut, Zul berkias santai dia tidak mahu mengadakan majlis besar-besaran dan bukan secara sembunyi.
Diusik sama ada dia sudah bersedia untuk terbang jauh ke Ukraine untuk mengahwini Tanya, Zul memberi jawapan bersahaja.
“Tak jauh mana pun, satu transit sahaja. Saya dah buat kajian dah,” katanya tertawa.










