Wanita terlibat pelacuran WeChat ditahan Imigresen - Utusan Malaysia

Wanita terlibat pelacuran WeChat ditahan Imigresen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Jabatan Imigresen menahan 15 wanita warga asing dipercayai terlibat dalam aktiviti pelacuran melalui aplikasi WeChat selepas menggempur sebuah premis di Bandar Puteri Puchong, Selangor, malam semalam.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud dalam satu kenyataan berkata, daripada jumlah itu, 10 wanita adalah warga Vietnam manakala lima warga Indonesia dalam serbuan bermula pukul 7 malam itu.

Katanya, dua pekerja lelaki warga Myanmar dan seorang warga tempatan dipercayai menjadi penjaga dan penyelia premis turut ditahan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Wanita berkenaan disediakan tempat tinggal di premis tersebut di mana bilik yang digunakan untuk perkhidmatan seks dilengkapi bilik mandi sendiri.

“Premis itu dipercayai disewa, tidak mempunyai lesen perniagaan sah dan dipercayai beroperasi 24 jam sehari,” katanya.

Khairul Dzaimee berkata, premis yang menawarkan perkhidmatan seks itu kerap dikunjungi pelanggan asing antaranya warga Belgium, Iran, Jepun dan Korea pada harga bermula RM178 bagi tempoh 45 minit.

Menurutnya, premis itu turut mempunyai tonto yang selalu berada di luar bangunan bagi mengawasi pergerakan pihak berkuasa dan akan memberi maklumat jika wujud pergerakan pasukan serbuan dan operasi.

“Premis dua tingkat itu dilengkapi kamera litar tertutup dan pintu bermagnet yang boleh dikawal melalui alat kawalan jauh selain pintu ke tingkat dua premis yang dilindungi cermin bagi mengaburi pihak berkuasa daripada mengesan laluan tersebut.

“Penjaga premis bertindak mematikan bekalan elektrik dan lampu di tingkat dua sebagai amaran kepada wanita warganegara asing yang berada di dalam bilik bersama pelanggan setelah pasukan serbuan memasuki aras berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Khairul Dzaimee berkata, antara kesalahan yang dikenal pasti ialah menyalahgunakan pas atau permit, tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen. 

“Seramai 11 pelanggan yang berada di dalam premis semasa serbuan turut diberi notis untuk hadir memberi keterangan bagi membantu siasatan,” katanya.

Kesemua tahanan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Putrajaya dan kes disiasat mengikut  Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63 serta Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×