KOTA BHARU 2 Feb. – Wanita PKR akan mengemukakan syor kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk mewujudkan enakmen gangguan seksual di tempat kerja bagi membela golongan berkenaan.
Ketua Wanitanya, Hanizah Mohamed Talha berkata, enakmen ini bagi membolehkan pelaku dikenakan hukuman setimpal di atas kesalahan tersebut agar menjadi pengajaran.
Menurutnya, setakat ini hanya ada garis panduan sahaja untuk menangani isu gangguan seksual di tempat kerja.
“Kita akan kemukakan syor supaya Kementerian Wanita mewujudkan enakmen ini.
“Dan perkara ini menjadi agenda utama Wanita PKR dalam membela nasib rakan-rakan kami diluar sana,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Konvensyen Wanita Keadilan 2019 Zon Timur (Kelantan, Terengganu dan Pahang) di sini hari ini.
Hanizah memberitahu perkara itu perlu dilakukan segera bagi memastikan nasib-nasib mangsa mendapat pembelaan sewajarnya.
Katanya, berpandukan kepada maklumat ada golongan wanita yang menjadi mangsa namun mereka mengambil pendekatan untuk berdiam diri.
“Tindakan ini kerana mereka khuatir dibuang kerja. Setakat ini hanya garis panduan sahaja yang ada, bagaimanapun semua itu terpulang kepada panel untuk diambil tindakan sekiranya ada laporan diterima.
“Hanya amaran sahaja diberikan dan kesalahan itu tetap berulang pada masa depan. Sebab itulah kita perlukan satu enakmen khusus dalam isu ini,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











