KLANG – Seorang wanita Orang Kelainan upaya (OKU) kerdil maut dipercayai didera oleh abang iparnya dalam satu kejadian di Taman Sentosa, di sini Selasa lalu.
Wanita berusia 26 tahun itu meninggal dunia kira-kira pukul 2 petang.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, pada awalnya pihaknya menerima aduan dari abang iparnya berusia 59 tahun yang memaklumkan mangsa meninggal dunia di rumahnya.
Katanya, suspek yang merupakan mualaf itu memaklumkan mangsa meninggal dunia akibat penyakit sawan.
“Suspek yang bekerja sebagai pengawal keselamatan mendakwa mangsa mengidap sakit itu sejak tiga tahun lalu dan enggan proses bedah siasat dilakukan terhadap mangsa.
“Bagaimanapun pemeriksaan pada badan mangsa mendapati terdapat kesan lebam dan bedah siasat kemudiannya dibuat Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Shamsul Amar berkata, jiran mangsa turut membuat laporan polis menyatakan mangsa sering didera oleh suspek.
Jelas beliau, kertas siasatan berhubung kes tersebut kemudiannya telah diserahkan Timbalan Pendakwa Raya hari ini.
“Suspek akan didakwa esok di Mahkamah Klang atas tuduhan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya. – K! ONLINE










