Wan Azizah lawat Brunei 26-27 Februari ini - Utusan Malaysia

Wan Azizah lawat Brunei 26-27 Februari ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 25 Feb. – Timbalan Perdana Menteri , Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail akan melakukan lawatan rasmi selama dua hari bermula esok ke Brunei Darussalam.

Kunjungan itu adalah sebahagian daripada siri lawatan pengenalan beliau ke negara-negara ASEAN selepas mengangkat sumpah sebagai Timbalan Perdana Menteri ke-12 pada 21 Mei tahun lalu.

Menurut Wisma Putra, Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan diiringi oleh Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya dan para pegawai kanan kerajaan.

Jelasnya, beliau dijadual akan mengadap Sultan Brunei, Sultan Haji Hasanal Bolkiah dan Pengiran Muda Mohkota yang juga Menteri Kanan di Pejabat Perdana Menteri, Pengiran Muda Haji Al Muhtadee Billah Sultan Haji Hasanal Bolkiah.

Wan Azizah juga dijadual akan mengadap Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Isteri Pangiran Anak Hajah Saleha bagi memenuhi jemputan baginda.

“Ini diikuti pertemuan bersama rakan sejawat beliau yang juga Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan Brunei, Mejar Jeneral (Bersara) Datuk Paduka Aminuddin Ihsan,” jelasnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Wisma Putra lagi, sepanjang lawatan itu, Wan Azizah dijadual turut mengunjungi Pusat Ehsan Negara Brunei, Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan negara itu dan pertemuan dengan para pelabur serta ahli-ahli perniagaan tempatan.

“Lawatan ini menunjukkan komitmen tinggi Malaysia terhadap usaha meningkatkan lagi hubungan kerjasama dua hala bersama Brunei Darussalam terutama dalam bidang perdagangan dan pelaburan, pembangunan sosial, pemerkasaan wanita, dan pengurusan bencana alam yang efektif, ” jelasnya.

Tambah Wisma Putra, Malaysia dan Brunei telah menjalin hubungan diplomatik selama 35 tahun dan mengekalkan hubungan baik sebagai jiran terdekat serta rakan ASEAN.

Kedua-dua negara jelasnya, mempunyai kerjasama yang erat dalam pelbagai sektor termasuk perdagangan dan pelaburan.

Malaysia merupakan pelabur utama di Brunei dalam kalangan negara rantau ASEAN dengan pelaburan langsung asing (FDI) dari Malaysia berjumlah AS$486.74 juta  (RM1.979 bilion) pada tahun 2017 iaitu hampir 90.9 peratus daripada jumlah FDI AS$535.27 juta (RM2.176 bilion) dari negara-negara ASEAN lain.

“Brunei merupakan negara ketujuh terbesar daripada rakan dagangan Malaysia di rantau ASEAN dengan jumlah dagangan sebanyak AS$981.2 juta (RM3.990 bilion) pada tahun 2018,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN