LONDON 9 Feb. – Pemilik Cardiff City, Tan Sri Vincent Tan membuat tawaran untuk menanggung kos penghantaran pulang mayat Emiliano Sala ke Argentina.
Mayat Sala ditemui, Khamis lalu, selepas operasi pencarian dilakukan susulan pesawat ringan jenis Piper Malibu yang dinaikinya terhempas.
Penyerang itu menyertai Cardiff dari Nantes, selepas melengkapkan perpindahan bernilai 15 juta pound (RM78 juta), namun, kapal terbang yang dinaikinya hilang daripada radar pada 21 Januari lalu.
“Semoga roh Emiliano tenang. Secara peribadi saya berasa sedih dengan insiden itu. Pemain muda ini mungkin berasa gembira dan mencipta karier di Cardiff City di mana dia sepatutnya ada tempat tinggal dan rakan baharu.
“Cardiff City akan meneruskan kerjasama dengan Cawangan Siasatan Nahas Udara Britain (AAIB) dan pegawai siasatan bagi mencari punca nahas itu berlaku dan membantu keluarga Emiliano.
“Kami menawarkan diri untuk membantu mereka menguruskan penghantaran mayat kepada keluarganya di Argentina. Walaupun, dia tiada, namun, Emiliano sentiasa berada dalam ingatan kami. Satu kehilangan besar, pastinya keluarga Sala amat terkesan dengan pemergiannya,” katanya. – AGENSI










