HULU LANGAT 14 Feb. – Barisan Nasional (BN) mempertaruhkan pemimpin masyarakat, Zakaria Hanafi, 58, sebagai calon bagi mewakili parti itu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih pada 2 Mac ini.
Zakaria yang merupakan bekas penolong pegawai tadbir di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dipilih berdasarkan kriteria yang ditetapkan BN iaitu mestilah dalam kalangan penduduk tempatan dan boleh diterima masyarakat.
Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, urusan pemilihan calon bukanlah merupakan perkara mudah diputuskan, malah ia berbeza untuk memilih calon bagi kerusi Parlimen dan DUN.
Tambah beliau, untuk Parlimen, calon mestilah dipastikan seorang yang mempunyai kelulusan dan kepakaran ke Dewan Rakyat untuk membahas undang-undang, namun kriterianya tidak sama untuk calon DUN.
“Untuk DUN kita tidak memerlukan calon yang mempunyai sijil berjela-jela tetapi yang lebih penting kita memerlukan calon yang boleh bersama-sama dengan masyarakat serta mendengar juga mengutip keluh kesah rakyat.
“UMNO Bahagian tak mahukan calon payung terjun serta orang luar, jadi kita pilih anak tempatan. Selepas melakukan penilaian dan pertimbangan, kita memilih Zakaria yang diharap dapat membawa suara rakyat ke DUN Selangor,” katanya dalam majlis pengumuman dan pengenalan calon BN bagi PRK Semenyih di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merangkap Pengarah Jentera PRK Semenyih BN serta Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz.
Turut hadir, Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker, Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan dan Naib Presiden Pas, Datuk Iskandar Abdul Samad.
Sementara itu, Mohamad berterima kasih kepada Pas kerana memberi laluan kepada BN untuk bertanding pada PRK Semenyih yang sekali gus mengelakkan perpecahan dalam kalangan pengundi Melayu.
“Kerusi DUN Semenyih ini perlu ditandingi dan kita mesti bekerja kuat kerana memang berhasrat untuk merampasnya semula daripada Pakatan Harapan (PH).
“Jangan kita pening kepala, 8,000 majoriti tiada benda kerana di luar orang sudah mula gelisah dan rakyat mula menyampah kerana banyak janji yang tidak dibuat kerajaan. Jadikan PRK Semenyih sebagai terjemahan tidak puas hati kita kepada ketidakcekapan PH mentadbir negara,”katanya.










