SHAH ALAM – Penyanyi dan pemuzik Dul Jealani yang menggantikan posisi bapanya Ahmad Dhani gagal mengawal emosinya lalu menangis di hadapan 7,000 orang peminat Konsert Renion Dewa 19 Live In Malaysia yang berlangsung di Stadium Malawati Shah Alam, Selangor, malam tadi.
Dul, 19, yang ketika itu sedang bermain keyboard menitiskan air mata sewaktu Ari Lasso menyanyikan lagu Hadapi Dengan Senyuman dan Cintakan Membawamu Kembali.
Dia kemudiannya ditenangkan oleh Ari dan suasana sedih tersebut turut menyentuh hati semua penonton yang hadir.
Dua lagu berkenaan dinyanyikan sebagai tribute kepada Ahmad Dhani yang tidak dapat menyertai konsert kali ini kerana menjalani hukuman penjara selama 18 bulan di Indonesia.
Sebelum dua lagu tersebut dinyanyikan turut dipamerkan sebuah video pendek daripada Ahmad Dhani khas buat untuk peminatnya di Malaysia.
“Buat peminat di Malaysia doakan semoga saya terus kuat,” kata Ahmad Dhani.
Selain itu, Dul yang sebelum ini mendedahkan tidak akan menyanyi di konsert berkenaan membuat kejutan apabila berduet bersama Once Mekel sambil bermain gitar.
Ahmad Dhani yang merupakan pengasas band Dewa 19 tidak dapat menyertai konsert berkenaan kerana dipenjara atas kesalahan menyebar kata-kata kebencian dalam laman sosial miliknya. – K! ONLINE










