JOHOR BAHRU 26 Feb. – Pasangan suami isteri dijatuhi hukuman penjara dua tahun di Mahkamah Sesyen di sini sebentar tadi atas pertuduhan mendera anak lelaki mereka berusia 12 tahun dari 2017 hingga Februari 2019.
Hakim Kamarudin Kamsun turut mengarahkan Muhamad Farid Rosli, 29, dan Yuliani Chosibah, 38, seorang warganegara Indonesia menjalani bon berkelakuan baik selama tiga tahun dan menjalankan khidmat masyarakat selama 48 jam.
Kamarudin turut menetapkan kedua-dua mereka dipenjara setahun sekiranya gagal mematuhi arahan bon berkelakuan baik dan gagal menyempurnakan khidmat masyarakat.
Mengikut pertuduhan, Muhammad Farid yang bekerja sebagai pemandu bas dan isteri, Yuliani yang tidak bekerja telah menganiaya dan membiarkan kanak-kanak tersebut mengalami kecederaan fizikal.
Tertuduh yang mempunyai pemeliharaan terhadap kanak-kanak lelaki itu dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Pangsapuri Desa Melayu, Jalan Bayu Putri 2, dari 2017 hingga 18 Februari 2019.
Mereka dituduh mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dibacakan bersama-sama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabit kesalahan.
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Suhaila Shafi’uddin manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam. – UTUSAN ONLINE









