KAJANG – Pengendali laman web, Papagomo mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini sebentar tadi atas dua pertuduhan mengaib dan mencederakan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam satu insiden pergaduhan semasa penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN), Semenyih dua minggu lalu.
Papagomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris, 36, selaku Orang Kena Saman (OKS) membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Fadzilatul Isma Ahmad Refngah.
Mengikut pertuduhan pertama Papagomo yang juga bapa lima anak itu didakwa telah mengaibkan kehormatan Syed Saddiq, 27, dengan menyebut perkataan iaitu ‘ko bodoh’.
Bagi pertuduhan pertuduhan pertama itu OKS didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Sementara pertuduhan kedua, Papagomo yang juga Exco Pemuda UMNO itu didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan pada mangsa sama dibahagian leher dan bahu yang didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Hukuman bagi pertuduhan kedua itu memperuntukkan penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di tepi jalan, Jalan Persiaran Impian Perdana, Saujana Impian di sini pukul 11.05 pagi pada 16 Februari lalu.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Siti Noor Hafizan Zakaria menawarkan ikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin selain pasport OKS diserahkan kepada mahkamah.
Bagaimanapun Papagomo yang diwakili peguam Nik Saiful Adli Burhan memohon jumlah jaminan itu dikurangkan dengan alasan tertuduh mempunyai tanggungan keluarga lima orang dan telah memberi kerjasama dengan pihak berkuasa apabila datang sendiri ke mahkamah selepas dihubungi polis.
“Selain itu, itu, dalam kes ini merupakan seorang menteri yang mempunyai pengawal peribadi. Jadi mahkamah tidak perlu khuatir kerana sekiranya diganggu, mangsa boleh membuat laporan polis,” katanya.
Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak Fadzilatul Isma membenarkan OKS diikat jamin RM8,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan syarat tambahan OKS tidak perlu menyerahkan pasport sebaliknya perlu lapor diri di balai polis berdekatan sekali sebulan.
Mahkamah kemudian menetapkan 1 April depan untuk sebutan semula kes. – K! ONLINE










