[VIDEO] Keldai dadah terima bayaran antara RM5,000 hingga RM10,000 - Utusan Malaysia

[VIDEO] Keldai dadah terima bayaran antara RM5,000 hingga RM10,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUBANG JAYA 3 Feb. – Antara RM5,000 hingga RM10,000. Itu bayaran diterima keldai dadah bagi setiap perjalanan pergi dan balik ditawarkan sindiket yang semakin aktif merekrut rakyat Malaysia sejak akhir-akhir ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Deputi Komisioner Zulkifli Ali berkata, berdasarkan maklumat diberikan keldai dadah yang tertangkap, mereka mengaku direkrut di negara ini sebelum dihantar menjalankan tugas.

“Mereka (keldai dadah) ini bukan sahaja terdiri daripada kakitangan penerbangan, malah pekerja biasa, penganggur dan juga pelajar pun ada yang terlibat menyeludup masuk dadah ke negara-negara seperti Korea, Australia, Hong Kong dan sebagainya.

“Untuk tahun lepas sahaja angka keldai dadah warga Malaysia yang ditahan di Hong Kong adalah sebanyak 23 orang, dan ini adalah sangat membimbangkan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah Subang Jaya di sini hari ini.

Menurut Zulkifli, keldai dadah ini digunakan sindiket untuk membawa keluar dadah dari negara ini atau mengambil dadah di negara lain untuk dibawa ke negara ketiga.

“Biasanya bayaran yang diterima mereka antara RM5,000 dan RM10,000 tersebut hanyalah sekali kerana pihak berkuasa pasti dapat menghidu kegiatan itu sebelum keluar atau masuk sesebuah negara, kita ada cara untuk mengesan mereka.

“Tapi walaupun mereka sudah tahu risikonya, mungkin kerana desakan hidup ataupun sifat tamak mereka tetap melakukannya,” ujar Zulkifli.

Sebelum ini, media melaporkan lapan rakyat Malaysia ditahan polis Korea selepas cuba menyeludup dadah jenis syabu bernilai kira-kira 44 bilion won (RM161.87 juta) ke negara itu.

Manakala pada pertengahan Januari, dua rakyat Malaysia termasuk seorang kru kabin syarikat penerbangan Malindo Air ditahan di Lapangan TerbangAntarabangsa Melbourne, Australia selepas dipercayai menyeludup dadah ke negara itu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN