KUALA LUMPUR 28 Feb. – Siapa sangka kerana semangat ingin berbakti kepada orang ramai, enam anak muda berlatar belakang berbeza turun padang ke Sekolah Kebangsaan Satak, Raub,Pahang bagi mendekati anak-anak Orang Asli .
Malah program yang dikenali sebagai “Love is infinity” itu adalah memberi pendedahan kepada murid sekolah terhadap kepentingan ilmu selain galakan untuk mereka terus berjaya dalam hidup.
Menurut ketua projeknya, Nor Azrul Mohd Zin, pengalaman bersama anak-anak Orang Asli Satak itu sejak tahun lepas memberi inspirasi yang sangat kuat untuk mereka terus berbakti selagi berkemampuan.
“Ada di antara kami pensyarah, peguam selain ada yang belajar di peringkat Doktor Falsafah (PhD). Kami mahu menjadi contoh kepada mereka ini tentang peranan ilmu itu sendiri.
“Tahun ini kita suntik semangat mereka untuk lebih ke hadapan untuk menjadi golongan profesional yang hebat satu hari nanti demi memajukan diri, keluarga dan suku Semai di Satak,” ujarnya kepada Utusan Online baru-baru ini.
Menurut Nor Azrul, program itu turut mendapat bantuan daripada beberapa pihak dalam memastikan program tersebut mencapai matlamatnya.
“Terima kasih Yayasan Peneraju selaku penaja utama Program Love is Infinity 2.0 dan tak dilupakan sokongan rasmi daripada Asia Pacific University dan Lucent Guilde,” ujarnya.
Malah Nor Azrul turut berharap akan mengadakan program seumpanya itu di tempat lain bagi mendekati lebih ramai anak muda di luar sana.
“Sekiranya kita dapat bantuan dan sokongan daripada pihak lain, Insyallah kami berhasrat untuk berjumpa dengan lebih ramai murid-murid sekolah di luar sana,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE










