HULU LANGAT 24 Feb. – Cerita duka lara si pemandu teksi di Semenyih.
Jika suatu masa dahulu, mereka ada juga menerima bantuan subsidi minyak dan subsidi tayar dari kerajaan, tetapi kini, semua itu tiada lagi.
Malang bertimpa apabila pendapatan mereka juga merosot lebih 50 peratus sejak kebelakangan ini ekoran kewujudan ‘kereta sapu’ yang bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan di Semenyih.
Pendapatan mereka kini sekitar RM30 sehari juga tidak mampu menampung kehidupan seharian tanpa mengambil kira kos minyak, penyelenggaraan kenderaan dan makan minum setiap hari.

Penolong Setiausaha Persatuan Pemandu Teksi,Meter dan Kereta Sewa Hulu Langat, M. Marikannan berkata, kehidupannya sukar dalam tempoh dua tiga tahun ini.
Malah, lebih menyukarkan dalam tempoh beberapa bulan ini berikutan kewujudan kereta sapu yang selalu mencari ‘makan’ di kawasan yang berhampiran dengan stesen teksi di situ.
“Dahulu, pendapatan kami mencecah RM150 sehari, kini hendak dapat RM30 pun susah. Ini semua kerana ada kereta sapulah,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Begitu juga dengan rakannya, P. Naidu, 58, yang mengeluh kerana di bawah kerajaan baharu, mereka tidak mendapat bantuan apa-apa berbanding kerajaan terdahulu.
Dia berharap kerajaan Pakatan Harapan dapat membantu mereka dengan memberi elaun minyak, bantuan subsidi tayar dan pelbagai lagi bagi mengurangkan beban seperti mana yang pernah dilakukan kerajaan terdahulu.
“Jika dahulu, kita dapat bantuan minyak dan subsidi tayar. Tetapi, sekarang, kami tidak mendapat apa-apa,” ujarnya yang juga merupakan ahli jawatankuasa persatuan itu.

S. Ragasamy, 61, pula memberitahu, bilangan pemandu kereta sapu lebih kurang sama dengan jumlah pemandu teksi di Semenyih iaitu 35 orang.
Malah, pemandu-pemandu kereta sapu berkenaan sangat berani membuat ‘kerja’ di hadapan mereka dengan mengambil dan menurunkan penumpang, tanpa rasa bersalah.
“Kami sudah malas hendak bergaduh dengan pemandu-pemandu kereta sapu. Kami juga dinasihatkan supaya tidak berbuat demikian demi menjaga imej pemandu teksi,” jelasnya.

Setiausaha persatuan itu, M. Bharathi,68, memberitahu, mereka sudah pun membuat laporan kepada beberapa pihak yang bertanggungjawab.
“Kami kini sedang menunggu jawapan dan tindakan daripada pihak berkuasa,” katanya.

Sementara itu, presiden persatuan, Imran Amed Pala, 66, menjelaskan, pihaknya telah menghantar surat rasmi kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi mengadu mengenai kewujudan kereta sapu di Semenyih yang didapati cuba membunuh operasi perkhidmatan teksi.
Katanya, surat rasmi itu dihantar secara serahan tangan dan diterima oleh JPJ pada 31 Januari lalu.
“Jika masalah ini tidak ditangani, ramai dalam kalangan pengusaha teksi di sini akan ‘gulung tikar’. Pemandu-pemandu teksi di sini juga mempunyai banyak komitmen lain,” tegasnya. – UTUSAN ONLINE










