[VIDEO] Campak sofa terpakai depan rumah, apa mereka rasa? - Maya Karin - Utusan Malaysia

[VIDEO] Campak sofa terpakai depan rumah, apa mereka rasa? – Maya Karin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Pelakon Maya yang kini giat dengan peranan dan tanggungjawabnya sebagai duta ikon River of Life mengatakan dia tidak jijik untuk mengutip sampah demi kepentingan alam sekitar bersama.

Menurut pemilik nama sebenar Maya Karin Roelcke itu, apa yang lebih menjijikkan apabila mendapati sampah sarap dibuang sesuka hati oleh segelintir pihak tidak bertanggungjawab.

Perkara itu dibangkitkan pelakon filem Munafik 2 itu selepas melakukan aktiviti gotong-royong di Sungai Batu, Kampung Laksamana, Gombak.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, dia kecewa sungai yang sepatutnya dijaga kebersihannya menjadi tempat pembuangan sampah.

“Sangat menghampakan kerana selain barang-barang kecil seperti botol plastik, lampin bayi dan beg plastik, saya terkejut kerana barang-barang ‘besar’ seperti kerusi sofa dan bahagian kereta turut dibuang dalam sungai.

“Apa yang orang ramai fikirkan? Sangat tidak logik. Rasa hormat kita terhadap alam sekitar terlalu rendah. Kalau saya campak sofa terpakai depan rumah mereka, apa mereka rasa,” getus Maya, 39, ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.

Tambah Maya, dia merasakan kesedaran sivik terhadap penjagaan alam sekitar dalam kalangan masyarakat masih lagi lemah dan perlu dipertingkatkan.

“Saya tidak berasa jijik untuk kutip sampah. Kesedaran sivik dalam kalangan rakyat Malaysia tentang kepentingan menjaga alam sekitar masih lemah.

“Perkara ini memerlukan kerjasama daripada pelbagai pihak termasuk kerajaan. Kepentingan menjaga alam sekitar harus dipupuk sejak kecil dan semua orang termasuk ibu bapa, jiran tetangga dan golongan selebriti sendiri harus memainkan peranan masing-masing,” ujarnya.

Dalam pada itu, Maya turut mengharapkan penglibatan daripada para selebriti lain dalam usaha untuk menjaga kebersihan alam sekitar demi kepentingan bersama.

Program gotong-royong yang diberi nama ‘Green Sg. Baru For All’ anjuran kerjasama dengan Travelog Combi Selangor itu akan diteruskan untuk beberapa lokasi seterusnya seperti Kampung Sungai Tua, Kampung Sungai Kertas, Kampung Nakhoda, Kampung Melayu Batu Caves, Kampung Baru Batu Caves Selatan dan Batu Caves Indian Settlement. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×