KUALA LUMPUR 26 Feb.- Seorang wanita yang sarat mengandung berada dalam keadaan kritikal selepas ambulans dinaikinya terbalik dalam nahas dengan kenderaan utiliti sukan (SUV) di persimpangan lampu isyarat, di Jalan Green, Kuching, Sarawak hari ini.
Kejadian berlaku pukul 9.40 pagi dan wanita berusia 40-an itu kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Umum Sarawak (HUS), Kuching kerana mengalami trauma di kepala akibat impak pelanggaran berkenaan.
Difahamkan, mangsa dibawa dari Sungai Maong, Batu Kawa, selepas mengadu sakit untuk melahirkan bayi selain mengalami tekanan darah tinggi.
Sementara itu, rakaman kamera lalu lintas menunjukkan kemalangan berlaku apabila pemandu SUV terbabit enggan memberi laluan kepada ambulans yang sudah memasang siren kecemasan untuk membawa wanita mengandung berkenaan ke HUS.
Pemandu lelaki itu didapati memandu laju tanpa mempedulikan bunyi siren kecemasan ambulans terbabit sebelum melanggar bahagian belakang kenderaan berkenaan yang dilihat cuba mengelak.
Rakaman tersebut turut dimuat naik di laman Facebook serta mendapat perhatian netizen yang rata-ratanya memarahi tindakan pemandu SUV terbabit.- UTUSAN ONLINE











