[VIDEO] AJL33: Difitnah guna bomoh, Misha buat laporan polis - Utusan Malaysia

[VIDEO] AJL33: Difitnah guna bomoh, Misha buat laporan polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Kecewa difitnah netizen menggunakan ilmu hitam dan percayakan khurafat untuk beroleh kemenangan dalam Anugerah Juara Lagu Ke-33 (AJL33) yang berlangsung 3 Februari lalu, penyanyi Misha Omar bertindak membuat dua laporan polis bagi membersihkan reputasinya yang tercalar.

Menurut Misha, 37, laporan polis berkenaan dibuat di Balai Polis Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor dan Balai Polis Salak Selatan semalam. 

“Saya rasa bertanggungjawab terhadap diri sendiri sebab tidak mahu kata-kata tidak benar seperti itu mengganggu-gugat karier yang dibina dengan susah payah selama 17 tahun ini.

“Jadi saya rasa terpanggil untuk menegakkan keadilan bagi diri sendiri. Saya sendiri tidak tahu apa salah saya dan dari mana mereka dapat berita itu sedangkan kami tidak pernah mengenali antara satu sama lain.

“Pada kesempatan ini juga, saya mahu mendidik masyarakat supaya menggunakan laman sosial dengan bijak. Jangan mudah menyebarkan perkara tidak benar yang akhirnya menjadi fitnah,” ujarnya ketika ditemui pada sidang akhbar tergempar yang diadakan di Bangsar, Kuala Lumpur sebentar tadi. 

Menurut Misha, fitnah tersebut mula disebarkan beberapa pengguna menerusi Twitter sebaik AJL33 menutup tirai, sebelum merebak ke laman sosial lain seperti Facebook dan sehingga kini menjadi buat mulut dalam kalangan penggiat seni. 

Kata Misha, dia berasa kecewa kerana selama ini telah bekerja keras untuk demi karier tetapi akhirnya dituduh menggunakan ilmu hitam.

“Selepas tamat AJL33, saya banyak keluar dan bertemu rakan artis tetapi ada antara mereka berbual dengan saya sambil menyentuh penggunaan ilmu hitam untuk menang anugerah tersebut. 

“Kedengaran seperti gurauan tetapi ironinya perkara itu telah pun sampai kepada rakan artis dan peminat sedangkan untuk saya mendapatkan kemenangan, saya bekerja keras dan tidak perlu pun saya kongsikan kepada semua. 

“Sebab itu sangat kecewa dan berkecil hati kerana orang tidak tahu betapa susahnya saya untuk mendapatkan kembali suara yang pernah hilang selepas melahirkan anak sulung sekitar lebih dua tahun lalu,” katanya. 

Sementara itu, peguam yang mewakili kes tersebut, Abi Mursyidin Awal berkata, pihaknya telah menyampaikan surat rasmi kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengenal pasti identiti individu yang terlibat dalam penyebaran fitnah tersebut.

Mana-mana pengguna media yang terbabit dalam fitnah terhadap Misha juga diberi tempoh tujuh hari bermula semalam untuk tampil dan memohon maaf secara terbuka kepada penyanyi itu.

“Semoga mereka datang berjumpa dan berinteraksi dengan Misha secara berdepan untuk menyelesaikan kes ini dalam tempoh tujuh hari bermula dari hari ini,” kata Abi Mursyidin.

Sekiranya individu terlibat tidak berbuat demikian, tindakan undang-undang akan diambil. 

Pada AJL33, Misha menerusi lagu Sampai Bila ciptaan Sharon Paul, Fedtri Yahya dan Shah Shamsiri dinobatkan selaku pemenang tempat ketiga selain Misha sendiri membawa pulang hadiah kategori Vokal Terbaik. – K! ONLINE

Kenyataan di media sosial yang mendakwa Misha Omar menggunakan unsur khurafat.
Kenyataan di media sosial yang mendakwa Misha Omar menggunakan unsur khurafat.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN