HULU LANGAT 26 Feb. – Seramai 858 pengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih mula menunaikan tanggungjawab masing-masing selepas dua pusat pengundian awal dibuka tepat pukul 8 pagi tadi.
Dua pusat pengundian awal yang dibuka dalam PRK kali ini akan menyaksikan seramai 761 anggota Polis Pasukan Gerakan Am (PGA) dan pasangan mengundi di Dewan Serbaguna Batallion 4 PGA Semenyih manakala 97 anggota keselamatan lagi mengundi di Discress Room, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang.
Pusat pengundian Dewan Serbanguna Batallion 4 PGA Semenyih dibuka bermula pukul 8 pagi sehingga 5 petang. Waktu pengundian bagi pusat mengundi di IPD Kajang pula akan ditutup pada pukul 2 petang.
Proses pengundian awal itu juga disiarkan secara langsung oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam laman sosial Facebook.
Tinjauan di IPD Kajang mendapati proses pengundian setakat ini berjalan lancar dengan calon Bebas, Kuan Chee Heng atau Uncle Kentang turut meninjau proses berkenaan sambil bersalaman dengan pengundi.
Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun juga tiba pada pukul 8.55 pagi di pusat pengundian awal IPD Kajang ditemani Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd. Yusoff dan Timbalannya, Superintenden Mohd. Sabri Abdulllah bagi memastikan proses tersebut berjalan tanpa sebarang masalah.
Selain itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin turut sama hadir menyaksikan proses pengundian tersebut.
Setakat pukul 9.05 pagi ini, difahamkan sebanyak 50 peratus daripada 97 anggota polis telah pun hadir mengundi.
PRK DUN Semenyih diadakan selepas wakil rakyatnya, Bakhtiar Mohd. Noor, 57, meninggal dunia akibat serangan jantung pada 11 Januari lalu.
PRK bagi kerusi itu akan memperlihatkan pertembungan empat penjuru melibatkan Zakaria; calon Pakatan Harapan (PH), Muhammad Aiman Zainali; calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Nik Aziz Afiq Abdul dan calon Bebas, Kuan Chee Heng atau Uncle Kentang. – UTUSAN ONLINE









