MANCHESTER – Pemain pertahanan Manchester United, Ashley Young percaya, skuadnya memiliki keyakinan tinggi untuk menewaskan Liverpool pada saingan Liga Perdana England Ahad ini.
Jelas pemain berusia 33 tahun itu, prestasi yang sangat cemerlang menerusi kejayaan menumpaskan tiga gergasi England seperti Tottenham Hotspur, Arsenal dan Chelsea telah membakar semangat mereka untuk mengecewakan Liverpool pada perlawanan tersebut.
“Tiga kemenangan besar itu telah memberi motivasi yang sangat tinggi kepada kami. Sudah tentu kami begitu yakin dapat menewaskan Liverpool. Kami mengalahkan Spurs dan Arsenal di gelanggang lawan sebelum ini. Pada masa sama, Chelsea turut menjadi mangsa kami di Stamford Bridge.
“Saya yakin United sedang berada pada era kebangkitan selepas diambil alih oleh Ole Gunnar Solskjaer. Tidak ada pasukan yang boleh menyekat matlamat kami di saingan liga,” katanya.
Pada aksi pusingan kelima Piala FA Isnin lalu, United menewaskan Chelsea 2-0 di Stamford Bridge sekali gus menyaksikan Solskjaer telah meraih 11 kemenangan daripada 13 perlawanan.
Dalam pada itu, pemain antarabangsa England tersebut turut meluahkan kekecewaan kerana pasukannya tidak bertembung dengan Manchester City pada aksi suku akhir Piala FA yang dijadualkan bermula pada Mac depan.
“Saya terkejut kerana kami tidak diundi untuk menentang City. Sebenarnya, City ialah sasaran kami yang seterusnya. Bagaimanapun, kami berharap mereka dapat mara ke pusingan separuh akhir supaya dapat berdepan dengan United pada perlawanan tersebut,” katanya. – Agensi











