MANCHESTER 25 Feb. – Pemain tengah Manchester United, Nemanja Matic akan diketepikan selama dua minggu selepas kelibatnya tiada ketika Red Devils menentang Liverpool dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Old Trafford, semalam.
Ketiadaan Matic dalam senarai pemain United nyata menimbulkan tanda tanya dan pengurus Red Devils, Ole Gunnar Solskjaer memberitahu pemain Serbia itu mengalami kecederaan ketika berlatih pada minggu lalu namun tidak menyatakan jenis kecederaannya.
“Dia cedera ketia berlatih bersama kami beberapa hari lalu. Kami cuba untuk memastikannya dia kembali cergas namun tidak berjaya dan dia akan diketepikan untuk beberapa minggu namun kami ada penggantinya,” kata Solskjaer.
Matic digantikan dengan Scott McTominay dalam kesebelasan utama United.
Itu bermakna dia boleh terlepas dalam aksi timbal balik kalah mati Liga Juara-Juara menentang Paris Saint-Germain (PSG) selain membantu pasukannya menamatkan saingan EPL dalam kelompok empat pasukan terbaik. – AFP










