Ubah pendekatan pembelajaran iGen - Utusan Malaysia

Ubah pendekatan pembelajaran iGen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG
GOLONGAN iGen merujuk kepada generasi muda yang telah didedahkan dengan pelbagai peranti pintar sejak mereka kecil lagi sehingga peralatan itu telah sebati dengan hidup dan tidak boleh ditinggalkan. Keadaan ini membolehkan mereka menguasai teknologi abad ke-21 dengan lebih pantas dan mudah. Para pakar sependapat bahawa menyekat penggunaan peranti itu dalam kalangan generasi muda bukanlah kaedah terbaik. Sebaliknya, pendekatan paling sesuai adalah mengawal kegunaannya supaya generasi muda tidak mengabaikan aspek akademik dan aktiviti fizikal.

Majoriti pelajar menghabiskan kebanyakan hari mereka di sekolah. Maka pendidik yang berpengalaman seharusnya melihat situasi ini sebagai peluang untuk mereka memperkenalkan lebih banyak aktiviti fizikal yang sebenarnya mempunyai kaitan terus dengan prestasi akademik pelajar.

Termasuk dalam kategori aktiviti fizikal ini adalah pembelajaran yang melibatkan pergerakan. Kebebasan pelajar untuk berinteraksi bersama teman, bergelak ketawa sambil melakukan aktiviti, mencuba pelbagai pilihan dan bekerjasama dalam menyelesaikan isu sangat berpotensi untuk meningkatkan keberkesanan proses pembelajaran. Kajian membuktikan bahawa kebolehan pendidik memenuhi keperluan asas pelajar (pergerakan, kebebasan, kekuatan dan keseronokan) mampu meningkatkan mutu pengajaran dan pembelajaran. Keupayaan pendidik mencuba kaedah pelbagai dan berfikiran terbuka sangat membantu pelajar untuk belajar dalam keadaan yang mereka mahukan.

Pelbagai kajian yang melihat kesan aktiviti fizikal di dalam kelas menunjukkan kesan positif terhadap semua aspek pembelajaran pelajar (psikomotor, kognitif dan emosi). Aktiviti fizikal meningkatkan fungsi otak, mempercepatkan pertumbuhan sel-sel otak yang baharu, meningkatkan prestasi akademik dan mampu mengawal perilaku pelajar.

Kesungguhan, minat dan tingkah laku pelajar adalah cerminan kepada pengajaran dan pembelajaran seseorang pendidik. Maka para guru perlu menukar pendekatan pengajaran mereka agar selaras dengan keperluan dan kehendak iGen.

A. FAHIM
Selangor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN