Tunku Azizah berjiwa rakyat - Utusan Malaysia

Tunku Azizah berjiwa rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAJA Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Al-Marhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj merupakan puteri ketiga Almarhum Sultan Iskandar Almarhum Sultan Ismail dengan Enche’ Besar Hajah Kalsom Abdullah.

Walaupun dilahirkan dalam keluarga diraja, namun itu bukan penghalang untuk Seri Paduka mendekati dan menyantuni rakyat tanpa mengira kaum, agama serta status sosial mereka.

Seri Paduka tidak peduli meredah banjir, memanjat trak tentera dan menaiki bot untuk bertemu sendiri mangsa bencana bagi menghulurkan bantuan serta bertanya khabar.

Malah Tunku Azizah turut menyingsing lengan mencemar duli memasak di pusat-pusat pemindahan banjir.

Minat memasak, menjahit dan seni halus seperti menenun yang mendalam telah membulatkan lagi tekad Seri Paduka untuk memartabatkan seni warisan bangsa sebagai pemangkin melaksanakan projek yang memberi manfaat kepada rakyat.

Sesuatu yang cukup istimewa, Seri Paduka bukan sahaja mendampingi rakyat untuk berkongsi kemahiran, malah penghuni di sebalik tirai besi turut didampinginya.

Tanpa sedikit pun berasa kekok atau gentar berdepan dengan banduan atas pelbagai kesalahan jenayah di penjara, Seri Paduka berkongsi kepakaran dan nasihat dengan harapan memberi ‘bekalan’ apabila mereka bebas kelak.

Bukan itu sahaja, penglibatan Tunku Azizah dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di peringkat daerah mahupun negeri sehingga melangkau sempadan antarabangsa amat mengagumkan.

Bekas Pesuruhjaya Pandu Puteri Pahang, Rohani Saat, 59, berkata, Tunku Azizah seorang yang berjiwa lembut dan sering mengetepikan protokol setiap kali mencemar duli menjenguk kehidupan rakyat.

Menurutnya, setiap kali menyantuni rakyat, Seri Paduka dilihat tidak pernah lelah untuk bersama masyarakat, lebih-lebih lagi sewaktu mereka ditimpa kesusahan.

“Setiap kali mendengar berita sedih rakyat tidak kira di mana ceruk desa sekalipun, mereka pasti segera diziarahi.

“Tunku Azizah juga seorang yang mudah mengalirkan air mata. Jika melihat rakyatnya menangis, Seri Paduka juga akan menangis kerana simpati.

Ini kerana Seri Paduka terlalu sayangkan rakyat,” katanya.

Beliau berkata, selain menyantuni rakyat, Tunku Azizah juga pakar dalam bidang seni jahitan, mengait, jahitan silang dan sulaman.

“Anugerah Ilahi yang mengurniakan bakat semula jadi kepada Tunku Azizah tidak terdapat pada semua orang, sekali gus menjadi inspirasi kepada wanita,” katanya.

Atas dasar tersebut katanya, Seri Paduka berbesar hati berkongsi kepakaran itu dengan menubuhkan kelab jahitan di Kuantan pada awal 1990-an dalam usaha mengajar teknik seni jahitan yang lebih halus.

Katanya, inisiatif menubuhkan pusat jahitan pada 2006 pula membuka lembaran baharu kepada golongan wanita untuk belajar menjahit bagi menambah pendapatan.

Segala apa yang dilakukan itu adalah demi rakyat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×