KUALA LUMPUR – Isteri Perdana Menteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali meluangkan masa melawat Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali semalam, yang dimasukkan ke hospital dan menjalani pembedahan.
Perkara itu dikongsikan anak Mohamed Azmin, Farah Amira menerusi akaun Twitternya yang merakamkan kehadiran Siti Hasmah dan ditemani isteri Timbalan Presiden PKR itu, Datin Seri Shamsida Taharin di sebuah bilik hospital.
Bagaimanapun, Farah Amira tidak mendedahkan jenis pembedahan dan di mana ayahnya mendapatkan rawatan.
“Sekeping gambar menceritakan seribu perkataan, kata mereka. Sesungguhnya, semangatb Abah @AzminAli tinggi, susulan daripada perhatian dan kasih sayang yang ditunjukkan oleh Tun Dr. Siti yang datang sendiri melawat selepas pembedahan Abah.
“Sungguh indah, Tun Dr. Siti adalah lambing baik hati, penyayang, pencinta dan belas kasihan yang saya dapat lihat sendiri dengan cara beliau mengambil berat hal Abah @Azmin Ali,” kata Farah Amira di Twitter semalam. – Bernama










