JAKARTA 25 Feb. – Sebuah video yang merakamkan dua wanita berkempen mengajak masyarakat supaya tidak menyokong calon pilihan raya Presiden nombor satu, Joko Widodo atau Jokowi tular dalam media sosial Indonesia, hari ini.
Detik News melaporkan, video yang berdurasi 53 saat itu menunjukkan dua wanita sedang berbual dengan seorang lelaki warga emas dalam bahasa Sunda dan mereka bercakap jangan memilih Jokowi sebagai Presiden Indonesia.
Antara isu yang dibualkan oleh dua wanita dengan lelaki tersebut termasuk soal larangan laungan azan dan perbahasan mengenai ijmak ulama.
Video itu jelas menimbulkan kemarahan kepada Pasukan Kempen Nasional (TKN) Jokowi-Ma’ruf Amin.

Jurucakap TKN, Ace Hasan Syadzily berkata, video itu mendakwa jika Jokowi menang pilihan raya President, laungan azan di masjid-masjid akan dihentikan, golongan wanita tidak perlu memakai hijab dan perkahwinan sejenis akan dibenarkan.
Tegasnya, video itu secara jelas memfitnah Jokowi, sengaja menyebarkan berita palsu dan mencetuskan kebencian dalam kalangan masyarakat.
“Sehubungan itu, kami akan menyiasat pihak yang membuat video tersebut dan bagaimana dua wanita terbabit mendapat maklumat sehingga menyebarkan maklumat palsu,” katanya.
Dalam pada itu, polis Jawa Barat menahan tiga wanita di Bandung berhubung video memburukkan Jokowi terbabit, semalam.
Ketiga-tiga wanita yang hanya dikenali dengan nama singkatan, ES, IP dan CV, yang kesemuanya warga daerah Karawang ditahan kira-kira pukul 11.30 malam tadi.
Sementara itu, Badan Pemenangan Nasional (BPN)Prabowo Subianto-Sandiaga Uno menegaskan bahawa, dua wanita yang terlibat dalam video tersebut bukan sebahagian daripada pasukan kempen mereka.
Badan Pengawasan Pemilihan Umum (Bawaslu) memberi jaminan untuk menyiasat penularan video tersebut.
Seorang daripada anggotanya, Rahmat Bagja memberitahu bahawa, mereka sudah bertemu dengan dua wanita berkenaan dan melakukan soal siasat terhadap mereka. – AGENSI










