Tujuh tentera India maut konflik bersenjata Kashmir - Utusan Malaysia

Tujuh tentera India maut konflik bersenjata Kashmir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SRINAGAR 18 Feb. – Selepas digegarkan de­ngan serangan pengebom bunuh diri yang mengorbankan berpuluh-puluh nyawa anggota keselamatan India, wilayah Kashmir sekali lagi berdepan konflik bersenjata apabila sekurang-kurangnya tujuh tentera India terkorban dalam pertempuran menentang kumpulan pemberontak dekat sini.

Seorang tentera dan seorang penduduk di kawasan berdekatan cedera parah dalam insiden berbalas tembakan itu ketika pasukan ke­selamatan melancarkan operasi di Pulwama dekat sini.

Pasukan keselamatan dalam satu kenyataan memaklumkan, tentera melepaskan tembakan amaran sebelum tercetus insiden berbalas tembakan tersebut.

Tambah kenyataan itu, kumpulan pemberontak berkaitan dipercayai berjaya memboloskan diri sebelum melancarkan serangan.

Insiden tersebut berlaku empat hari selepas kejadian letupan bom di Kashmir yang mengorbankan puluhan nyawa itu.

Kumpulan pengganas berpusat di Pakistan, Jaish-e-Mohammed (JeM), mengakui bertanggungjawab melancarkan serangan bom itu.

Kerajaan India mendakwa Pakistan melindungi kumpulan pengganas dan berjanji membawa pesalah ke muka pengadilan.

Islamabad bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut, mengatakan pelampau agama diharamkan di negara ber­kenaan.

Serangan tersebut mencetuskan kemarahan penduduk India yang mengadakan demonstrasi bantahan selain menuntut tindakan ketente­raan dilakukan terhadap Pakis­tan.

Lebih banyak protes akan diadakan dengan kedai-kedai dan perniagaan kecil ditutup di seluruh negara sebagai langkah keselamatan.

Perintah berkurung masih berkuat kuasa untuk hari keempat di bandar Jammu, di bahagian majoriti Hindu di Kashmir, di mana perusuh menyerang dan membakar harta milik kepunyaan penduduk Kashmir. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN