Tujuh ahli Geng 08 diberkas - Utusan Malaysia

Tujuh ahli Geng 08 diberkas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM – Kegiatan tujuh ahli kongsi gelap Geng 08 yang aktif melakukan peras ugut dan samun di tapak pembinaan melibatkan tiga buah daerah di negeri ini berakhir selepas diberkas dalam Ops Cantas Khas, kelmarin.

Kesemua suspek berusia 18 hingga 30 tahun ditahan dalam operasi hampir dua jam bermula pukul 3.30 petang di Telok Panglima Garang, Kuala Langat dekat sini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, penangkapan kesemua suspek susulan kejadian pemerasan terhadap seorang pemilik tapak pembinaan reban ayam di Telok Panglima Garang, Kuala Langat pada 11 Februari lalu.

Katanya, modus operandi kumpulan itu adalah menyasarkan tapak-tapak pembinaan bagi tujuan mendapatkan wang perlindungan.

“Sekiranya pemilik atau pengurus tapak pembinaan enggan membayar, kumpulan ini akan bertindak melakukan samun di tapak-tapak pembinaan itu.

“Tujuannya bagi mendesak mangsa mengambil ‘khidmat keselamatan’ dan membayar wang perlindungan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kata Fadzil, siasatan juga mendapati kumpulan itu dipercayai terlibat dalam beberapa kes pemerasan dan samun di tapak pembinaan sekitar daerah Sepang, Petaling Jaya dan Serdang.

Beliau menjelaskan, kesemua suspek kini direman tujuh hari bermula semalam dengan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Dalam perkembangan sama, Fadzil turut meminta orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pemerasan yang dilakukan oleh kumpulan kongsi gelap kepada pihak polis.

“Saluran maklumat boleh dilakukan menerusi hotline polis Selangor melalui aplikasi whatsapp di talian 017-2847 611,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN