KUALA LUMPUR 25 Feb.-Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz menafikan dakwaan segelintir pihak yang menuduhnya menggunakan sentimen perkauman dalam satu ceramah pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih Sabtu lalu.
Mohamed Nazri berkata, tuduhan tersebut berniat jahat dan tidak berasas sama sekali itu ditimbulkan bagi mengalih perhatian sokongan daripada BN pada PRK itu.
Katanya , ucapan yang disampaikan itu juga telah disalah tafsir oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Saya sendiri dianggap sebagai Melayu liberal sebelum ini. Mana mungkin saya bersikap perkauman.
“Malah, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengajar kami bahawa pentadbiran negara tidak boleh diperintah satu kaum sahaja. Apa yang saya cuma katakan dalam ucapan sebelum ini adalah segala perkara dalam Perlembagaan Persekutuan perlu dipertahankan,” katanya dalam sidang akhbar di Menara Dato ‘ Onn, di sini hari ini.
Beliau mengulas dakwaan segelintir pihak terhadapnya yang menuduh menyampaikan ceramah berunsur hasutan. – UTUSAN ONLINE










