PARIS 26 Feb. – Jurulatih Paris Saint-Germain (PSG), Thomas Tuchel berharap Neymar dapat kembali menyertai latihan selepas aksi timbal balik Liga Juara-Juara menentang Manchester United pada 6 Mac ini.
Pemain termahal di dunia itu terpaksa direhatkan sejak 23 Januari lalu akibat cedera di kaki ketika membantu PSG memenangi Piala Perancis menentang Strasbourg dan dia sepatutnya direhatkan selama 10 minggu.
PSG menjangkakan dia akan kembali beraksi tepat pada masanya dengan peluang untuk PSG mara ke suku akhir Liga Juara-Juara pada April ini adalah cerah.
“Penting untuk kami mendapatkan khidmatnya sebelum bertemu Manchester United untuk membantu dan memberi sokongan kepada kami. Saya harap selepas perlawanan dia dapat kembali berlatih dan membantu kami.
“Susah untuk bercakap mengenai keadaan dia sebab masa yang akan menentukannya. Saya tahu dia berasa lebih baik apabila berada di Brazil,” katanya.
Neymar berada di Brazil sejak 20 Februari lalu bagi menjalani rawatan pemulihan. – AFP









