KUNJUNGAN Sarimah dari Kampung Pulau Rusa, Pekan, Pahang untuk menemui Pengarang Utusan Film dan Sport, Hassan Moen di pejabat Utusan Melayu di Cecil Street ternyata telah mengubah seluruh kehidupan beliau sehingga dikenali ramai sebagai primadona filem Melayu sebaris dengan seniwati Saadiah, Latifah Omar, Zaiton, Maria Menado, Hashimah Yon, Normadiah dan Siput Sarawak.
Pertemuan bersejarah sekitar Oktober 1959 itu seterusnya membawa perkenalan dengan Jaafar Abdullah, Pegawai Penerangan Syarikat Shaw Brothers yang turut serta makan tengah hari bersama-sama di Islamic Restaurant di Jalan Sultan.
Zulkifli Ahmad dalam bukunya, 12 Tahun Bersama Sarimah (1981) menyatakan, pertemuan bersejarah yang tidak terduga dalam hidup Sarimah terjadi apabila mereka berdua diundang pula melawat Studio Jalan Ampas yang terkenal dengan lokasi penggambaran bintang-bintang handalan filem-filem Melayu.

“Sesudah makan, Jaafar telah mengundang kami melawat Studio Jalan Ampas di Balestier Road yang ketika itu sedang mengadakan penggambaran filem Antara Dua Darjat arahan dan lakonan P. Ramlee dan seniwati Saadiah” (Zulkifli Ahmad 1981: 30).
Pengurus Studio, Quek Chip Jin lalu menjemput Sarimah mengikut Jaafar pergi ke Studio A untuk melihat secara dekat penggambaran filem Antara Dua Darjat. Sesudah itu, Sarimah dijemput ke pejabat pentadbiran Shaw Brothers untuk menikmati jamuan ringan. Ketika itulah Sarimah ditawarkan untuk menjalani uji bakat.
Uji bakat itu dikendalikan sendiri oleh P. Ramlee yang memerlukan Sarimah menunjukkan mimik muka dalam pelbagai situasi seperti seorang yang ditinggalkan kekasih, sebagai orang gila, meratap pilu, ketawa dan ketakutan. Dua hari kemudian, Sarimah diberitahu bahawa beliau telah lulus dalam uji bakat tersebut.
“Serta merta Pengurus Studio tersebut Encik Lee menawarkan satu kontrak untuk Sarimah menjadi pelakon tetap” (Zulkifli Ahmad 1981: 31)
Akhirnya, sejarah tercipta apabila Sarimah ditawarkan berlakon memegang watak Mardiana dalam filem pertamanya, Ali Baba Bujang Lapok di bawah arahan P. Ramlee.

Majalah-majalah terbitan Utusan Melayu seperti Utusan Film dan Sport, Utusan Radio dan TV meletakkan wajah Sarimah sebagai penghias kulit depan majalah masing-masing dengan kata-kata yang positif seperti “Sarimah makin improve”, ‘Sarimah miliki ‘talent’ semula jadi’ dan ‘Sarimah berbakat besar’ laris di pasaran.
“Publisiti-publisiti yang diberikan oleh Studio MFPmelalui majalah-majalah telah memberikan populariti yang cepat sekali kepada Sarimah sebagai pendatang baharu dalam dunia filem.
“Majalah Filem keluaran Shaw Brothers telah menggunakan kesempatan bukan sahaja untuk melariskan filem Ali Baba Bujang Lapok tetapi juga memperkenalkan lakonan Sarimah” (Zulkifli Ahmad 1981: 35).
Populariti Sarimah meningkat secara mendadak selepas membintangi beberapa buah filem seperti Si Tanggang (1961) dan Ibu Mertuaku (1962).
Menurut Zulkifli, surat-surat yang diterima Sarimah terlalu banyak, bertimbun-timbun sehingga tidak mampu dijawab. Begitu juga sesi foto untuk penghias kulit majalah terlalu banyak menyebabkan Sarimah tidak mempunyai masa untuk berehat dan balik ke kampungnya di Pulau Rusa di Pekan, Pahang.
“Kami telah pindah ke kuarters yang disediakan oleh pihak majikan di Jalan Ampas itu. Kuarters di Boon Teck Road itu terkenal sebagai asrama tempat tinggal semua bintang filem kecuali P.Ramlee yang telah berpindah ke tempat lain” (Zulkifli Ahmad 1981: 39).
Di situlah tempat tinggal pelakon-pelakon filem terkenal seperti Saadiah, Normadiah, Salleh Kamil, S. Shamsuddin, Ibrahim Pendek dan lain-lain yang dihuni kira-kira 30 buah keluarga.
Bermula dengan filem Ali Baba Bujang Lapok yang diedarkan pada 31 Januari 1961, Sarimah telah berlakon dalam filem Indera Bangsawan (1961), Si Tanggang (1961), Ibu Mertuaku (1962), Lu Balang Daik (1962), Batu Durhaka (1962), Labu dan Labi (1962), Norlaila (1962), Neraca (1963), Darah Muda (1963), Madu Tiga (1963), Tiga Abdul (1963), Bidasari (1965), Dayang Senandung (1965), Sri Andalas (1966), Gerak Kilat (1967), Jebak Maut (1967) dan filem terakhir Raja Bersiong (1968) karya Tunku Abdul Rahman.
“Studio Jalan Ampas telah ditutup 1967. Semua artis telah diberi notis dan dibayar ganti rugi tetapi Sarimah ditawarkan bertugas di Studio Merdeka Kuala Lumpur” (Zulkifli Ahmad 1981: 52).
Ketika itu P. Ramlee sudah berada di Studio Merdeka kerana beliau meninggalkan Studio Jalan Ampas lebih awal pada 1966, akibat berlaku perselisihan faham dengan pihak Shaw Brothers.
Sumber: Pusat Maklumat Utusan










