KUALA LUMPUR 25 Feb. – Usaha Kementerian Pendidikan dalam menempatkan sasterawan negara dalam universti awam di seluruh negara adalah langkah proaktif dalam transformasi pendidikan negara.

Ketua Bahagian Komunikasi Korporat, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Abdul Ghani Abu berkata, penekanan sastera dalam merentas bidang merupakan impian yang dinanti banyak pihak, khususnya dalam kalangan pencinta sastera negara.
Menurutnya, pendekatan itu juga merupakan suatu manfaat dua hala antara karyawan serta IPTA dan disambut baik DBP.
“Ilmu yang dimiliki para sasterawan dan karyawan bahasa dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh institusi-institusi akademik negara, sementara para sasterawan serta karyawan bahasa boleh memberikan sumbangan yang berterusan dalam dunia akademia.
“Langkah proaktif penyepaduan sastera dan sains oleh Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik dengan menempatkan Sasterawan Negara di universiti awam disambut baik oleh DBP.
“Usaha ini juga akan melengkapkan hasrat menjadikan masyarakat yang penuh jiwanya dengan ciri kemanusiaan dan kasih sayang seterusnya membentuk peradaban ummah yang unggul,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Maszlee pada Jumaat lalu mendedahkan aliran Sains dan Sastera di peringkat sekolah menengah di seluruh Malaysia bakal digabungkan dengan menempatkan sasterawan negara di universiti awam. – UTUSAN ONLINE










