HULU LANGAT 24 Feb. – Tok Batin Orang Asli, Kampung Sungai Lalang Baru menzahirkan rasa kekecewaannya kerana dipaksa membaca teks ucapan yang memuji-muji Pakatan Harapan (PH) pada satu majlis di sini petang tadi.
Majlis berkenaan adalah Sembang Santai Bersama Timbalan Presiden PH, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Aleh Abdullah,53, memberitahu, teks tulisan tangan itu disediakan oleh pihak lain yang dipercayai diberikan bekas pegawai Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).
“Saya tak tahu nak kata apa. Ada benda yang saya nak cakap dalam ucapan tadi. Bila diberi teks, saya rasa tidak gembira, gugup,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis sembang santai berkenaan tamat.
Bila ditanya apa pendiriannya terhadap parti itu, Aleh memberitahu, segala-galanya akan diterjemahkan dalam kertas undi pada 2 Mac nanti.
Mengulas lanjut, seluruh penduduk kampung juga mengeluh kerana tidak pernah diziarah oleh wakil rakyat di bawah kerajaan PH.
“Berbanding zaman kerajaan Barisan Nasional, ada juga yang datang jumpa kami semua, bantu dengar apa masalah kami,” ujarnya.
Bagaimanapun, Aleh berharap, jika calon PH, Muhammad Aiman Zainali memenangi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Semenyih, individu itu terus berbakti kepada masyarakat termasuk mengambil berat terhadap Orang Asli. – UTUSAN ONLINE










