TNB belasah ‘adik’, hambat UniKL - Utusan Malaysia

TNB belasah ‘adik’, hambat UniKL

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 15 Feb. – Tenaga Nasional Berhad (TNB) terus memberi tekanan kepada pendahulu, Universiti Kuala Lumpur (UniKL) selepas menjadikan pa­sukan ‘adik’, TNB-Thunderbolts mangsa belasahan 8-0 dalam Liga Hoki Malaysia di Stadium Hoki Tun Razak, hari ini.

Kemenangan besar membolehkan TNB menghambat UniKL dalam saingan divisyen Perdana dengan satu mata di belakang selepas mengumpul 24 mata daripada 10 perlawanan.

Dalam aksi hari ini, anak-anak buah Nor Saiful Zaini Nasiruddin memulakan pesta gol seawal minit kelapan hasil jaringan Norshafiq Sumantri sebelum Mohd. Akhimullah Anuar Esook meletakkan tuan rumah 2-0, dua minit kemudian.

Memuatkan artikel berkaitan…

Faiz Helmi menjadikan kedudukan 3-0 pada minit ke-30 menerusi, diikuti giliran Noor Firdaus Rosdi mencetak nama sebagai penjaring pada minit ke-38 selepas melepasi benteng pertahanan sebelum tenang menolak masuk bola ke gawang lawan.

TNB terus mempamer taring apabila meledak empat gol padang dalam tempoh sembilan minit menerusi Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi, Amirul Hamizan Azahar (minit ke-57 dan 58) dan Akhimullah.

Kelab Hoki Terengganu (THT) pula menumpaskan Maybank 5-2 di Stadium Hoki Batu Buruk, Kuala Terengganu manakala Universiti Teknologi Mara (UiTM) menang tipis 1-0 ke atas Nur Insafi di Stadium Hoki Universiti Sains Malaysia (USM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×