Tindakan orang terdesak - Pemuda UMNO - Utusan Malaysia

Tindakan orang terdesak – Pemuda UMNO

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU LANGAT 27 Feb.- Pemasangan kain-kain rentang berunsur provokasi di sekitar Semenyih disifatkan sebagai perbuatan yang dilakukan oleh pihak terdesak.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, berbaki dua hari menjelang hari pengundian, pihaknya memang sudah menjangkakan terdapat pihak yang sanggup melakukan apa sahaja untuk menagih undi rakyat.

“Ini perbuatan mereka yang terdesak dengan gelombang sokongan rakyat terhadap calon Barisan Nasional (BN) ditambah dengan kesilapan demi kesilapan yang dibuat oleh Pakatan Harapan (PH).

“Kita dalam keadaan amaran yang tinggi terutama dalam tempoh 48 jam akan datang kerana ini akan menjadi penentu. Mereka tentu akan melakukan apa sahaja untuk meraih simpati, memainkan emosi demi menagih undi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Kampung Sesapan Batu Minangkabau, Beranang, di sini hari ini.

Pagi tadi, calon BN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, Zakaria Hanafi membuat laporan polis berhubung kain-kain rentang berunsur provokasi yang digantung di sekitar Semenyih, sejak awal pagi tadi.

Kain-kain rentang yang digantung di simpang-simpang jalan itu antara lain memaparkan gambar Zakaria, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Sementara itu, Asyraf Wajdi turut menolak dakwaan bahawa pemasangan kain rentang tersebut dilakukan oleh pihak BN sendiri.

“Tidak mungkin BN yang buat dan cara olahan ayat, bilangan yang banyak saya rasa ini hanya boleh dibuat oleh mereka yang mempunyai kemampuan tinggi.

“Sebab itu kita buat laporan polis, jadi polis tentu mempunyai cara dan pendekatan untuk menyiasat, kalau ia dilakukan oleh BN, sudah tentu kita berdepan dengan kesalahan jenayah iaitu membuat laporan palsu,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN