IPOH 25 Feb. – Tiga sahabat terlepas hukuman gantung sampai mati apabila Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepas dan membebaskan mereka daripada tiga pertuduhan mengedar dadah seberat 691.5 gram, empat tahun lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman, Hayatul Akmal Abdul Aziz menetapkan demikian selepas mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.
Mengikut pertuduhan, S. Mathavan, 33, S. Logeswaran, 34, dan L. Kelemen dituduh secara bersama atas pertuduhan mengedar dadah seberat 207.8 gram (157.5 gram heroin, 50.3 gram monoacetylmorphines) di No. 13, Jalan Lahat Mines 15, Bandar Baru Lahat pada 20 Februari 2015, kira-kira pukul 3 petang.
Pertuduhan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Maziyah Mansor mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama dibaca dengan Seksyen 34 Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua dan ketiga di bawah seksyen sama, ketiga-tiga tertuduh masing-masing dituduh mengedar dadah seberat 17.6 gram (10 gram heroin, 7.6 gram monoacetylmorphines) dan 466.1 gram methamphetamine di tempat, masa dan lokasi sama.
Mathavan dan Logeswaran, masing-masing diwakili peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah, Tania Scivetti dan Syazwani Mohd Zawawi sementara Kelemen diwakili peguam Charan Singh dan Jagdave Singh.
Sebanyak 13 saksi pendakwaan dan sembilan saksi pembelaan dipanggil sepanjang kes tersebut berlangsung di mahkamah. – UTUSAN ONLINE










