KLANG – Hasrat tiga lelaki pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Bangladesh bertemu rakan mereka di Jeti Awam Pelabuhan Klang, di sini tidak tertunai selepas dicekup Pasukan Polis Marin (PPM), petang semalam.
Ketiga-tiga pati berusia 36 hingga 45 tahun itu diberkas pukul 4 petang dalam Ops Gelora.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Pelabuhan Klang, Deputi Superintendan Khairuddin Jamal berkata, tiga PATI itu dipercayai datang ke jeti berkenaan bagi bertemu rakan mereka sebelum ke Bukit Tinggi, Klang.
Katanya, semasa disoal siasat mereka mendakwa tidak mengenali antara satu sama lain.
“PATI tersebut ditahan selepas gagal menunjukkan sebarang dokumen perjalanan yang sah.
“Mereka kemudiannya dibawa ke markas operasi PPM Pelabuhan Klang untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Jelas beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1969/63. – K! ONLINE











