PASIR MAS 6 Feb. – Tiga beradik maut manakala seorang lagi parah selepas kereta Perodua Myvi yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kenderaan jenis Proton Wira di Jalan Tanah Merah-Pasir Mas berhampiran Kampung Bukit Tuku di sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 1 petang itu, tiga beradik maut dikenali sebagai Fatin Arina Mohd Asri, 23, Haifa Amira, 22, dan Anis Suraya, 10.
Fatin Arina dan Anis Suraya maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah manakala Haifa Amira meninggal dunia ketika sedang mendapat rawatan di hospital.
Sementara itu, identiti pemandu Proton Wira yang dilaporkan kritikal masih belum dikenal pasti.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas Asisten Komisioner Abdullah Mohammed Piah berkata, siasatan awal mendapati kemalangan itu dipercayai berlaku apabila Proton Wira dipandu seorang lelaki cuba memotong sebuah kenderaan lain di laluan tersebut.
“Pemandu kereta Proton Wira gagal memotong lalu telah masuk ke laluan bertentang dan kemudian bertembung dengan Perodua Myvi,” katanya.
Abdullah memberitahu, akibatnya dua mangsa yang menaiki Perodua Myvi berusia antara 24 dan 10 tahun telah meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang lagi meninggal dunia ketika sedang mendapat rawatan.










