SEREMBAN 25 Feb. – Sebanyak tiga kilang kitar semula sisa plastik di Kawasan Perindustrian Senawang dekat sini diserbu dalam operasi khas bersepadu oleh Kementerian Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar (MESTECC), hari ini.
Operasi itu diketuai sendiri oleh Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin.
Dalam operasi tersebut, dua daripada kilang berkenaan tidak mempunyai lesen daripada Majlis Perbandaran Seremban (MPS).
Menurut Bee Yin, operasi itu adalah lanjutan daripada dua serbuan sama dilakukan di Kuala Langat dan Klang dekat Selangor.
“Kerajaan telah membekukan permit import sisa plastik sejak Julai tahun lalu. Namun, sebelum itu, sudah ada kira-kira 750,000 metrik tan sisa plastik yang dibawa masuk secara besar-besaran ke negara ini.
“Sejak daripada itu, pihak berkuasa telah membuat operasi bagi membanteras kegiatan kitar semula sisa plastik haram yang membawa kesan buruk kepada alam sekitar,” katanya dalam sidang akhbar selepas operasi khas bersepadu itu di Senawang dekat sini hari ini.
Beliau berkata, sebanyak 273 kilang kitar semula sisa plastik di seluruh negara telah diperiksa dalam operasi penguatkuasaan yang dijalankan sejak pertengahan tahun lalu.
Daripada jumlah itu, tambahnya, sebanyak 139 kilang dengan 108 daripadanya berstatus haram telah ditutup atau ditahan operasi.
“Sebanyak 48 kertas siasatan telah dibuka dan empat kes telah dituduh dan dijatuhkan hukuman di mahkamah.
“Jumlah keseluruhan denda yang dikenakan adalah sebanyak RM398,000 serta hukuman penjara selama sehari,” ujarnya.
Bee Yin memberitahu, terdapat 44 kes akan di bawa ke mahkamah dengan jangkaan jumlah denda sehingga RM3 juta.
Operasi khas bersepadu itu turut dijayakan oleh Jabatan Alam Sekitar negeri, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN), MPS, Majlis Perbandaran Nilai dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp).
Turut serta Polis Diraja Malaysia, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen, Tenaga Nasional Berhad dan Pejabat Daerah dan Tanah Seremban, Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA). – UTUSAN ONLINE










