PULAU PINANG 25 Feb. – Meskipun selepas dua kali diserbu Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PPDNHEP) negeri, namun seorang peniaga di pekarangan pusat beli-belah Bukit Jambul di sini tetap berdegil menjual kasut berjenama tiruan.
Akibatnya, kedai sama sekali lagi diserbu PPDNHEP pagi ini dan kali ini sebanyak 1,369 pasang kasut pelbagai jenama tiruan dirampas dengan nilai dianggarkan kira-kira RM68,450.
Menurut Pengarah PPDNHEP negeri, Mohd. Ridzuan Ab. Ghapar kedai itu pertama kali diserbu pada Ogos tahun lalu hasil aduan orang ramai dan intipan pihaknya dan dikompaun sebanyak RM5,000 selain barangan jualan dirampas.
Selang seminggu kemudiannya, kata beliau, pemilik yang sama dikompaun sekali sebanyak RM5,000 atas kesalahan sama tetapi di premis jualan lain yang terletak di dalam pusat beli-belah tersebut.
“Bagaimanapun selepas beberapa bulan, kita dapati peniaga ini masih berdegil dan hari ini kita sekali lagi menyerbu dan merampas kasut berjenama tiruan yang dijual di pekarangan pusat beli-belah ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 8(2)(b) Akta Perihal Dagangan 2011 dan boleh dikenakan denda sebanyak RM15,000 bagi setiap unit barangan bagi kesalahan pertama dan kedua dan penjara tidak melebih tiga tahun.
Tambah beliau, pihaknya akan terus menjalankan operasi membanteras penjualan produk jenama tiruan dari semasa ke semasa di seluruh negeri berikutan kekerapa aduan yang diterima pihaknya daripada orang ramai.
“Selain itu, kita juga tidak mahu Pulau Pinang khususnya dan negara ini dikenali sebagai syurga atau pusat yang menjual barangan tiruan,” katanya. – UTUSAN ONLINE










