SEREMBAN – Badan Bertindak Jentera Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau meminta pucuk pimpinan parti tidak mencalonkan Timbalan Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Rembau, Dr. S. Streram pada Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi DUN Rantau.
Pengerusinya, Zuljimmykifli Sahari berkata, meskipun Streram adalah Penyelaras DUN Rantau dan dinamakan sebagai calon dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), tetapi beliau bukan anak jati DUN Rantau dan dikhuatiri akan ditolak oleh pengundi tempatan.
“Pucuk pimpinan PH harus memilih calon tempatan dan anak jati kelahiran DUN Rantau untuk bertanding berbanding calon asal (Streram).
“Saya bersama 369 ahli dalam badan tersebut sebulat suara menolak Streram sebagai calon PH dalam PRK DUN Rantau,” katanya pada satu sidang akhbar di sini hari ini.
Zuljimmykifli berkata, Badan Bertindak Jentera Pilihan Raya PH DUN Rantau sebaliknya menyatakan sokongan kepada Ahli Jawatankuasa (AJK) PKR Cabang Rembau, Saparin Musa yang merupakan anak jati Rantau.
Tegas beliau, Saparin wajar dicalonkan kerana telah berkhidmat dalam PKR sejak tahun 1998 dan beliau antara perintis penubuhan parti itu di Kelab Tuanku Mambau serta kawasan Rantau.
Menurutnya, faktor calon yang bertanding sangat penting memandangkan calon UMNO adalah bekas Menteri Besar Negeri Sembilan dan faktor calon Melayu juga wajar diberikan keutamaan berdasarkan situasi politik semasa.
“Kami berharap pandangan kami ini didengari serta dipertimbangkan pucuk pimpinan tinggi. Bukan mahu menentang, sebaliknya memberi pandangan selari dengan semangat demokrasi negara,” katanya.
Bagaimanapun, kata beliau, pihaknya akur jika pucuk pimpinan PH tetap memilih Streram sebagai calon dan akan memberi sokongan kepadanya bagi menumbangkan UMNO. – K! ONLINE











