KUALA LUMPUR 24 Feb. – Merampas hak dan menculik anak serta menghilangkan diri tetap tidak boleh dilakukan walaupun atas alasan Islam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof berkata, ini kerana kebajikan anak-anak harus menjadi keutamaan bagi setiap ibu bapa.
“Tidak boleh dilakukan atas nama Islam, merampas hak, menculik dan menghilangkan diri sedangkan anak itu memerlukan kebajikan.
“Saya difahamkan pihak polis telah melihat perkara ini dan kita akan menyokong bagi memastikan perkara ini dapat diselesaikan sebaik mungkin,” katanya kepada pemberita selepas Jamuan Muhibbah Tahun Baharu Cina di Subang, dekat sini hari ini.
Program anjuran Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) itu turut dihadiri Duta Besar China ke Malaysia, Bai Tian; Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim), Datuk Nordin Ibrahim dan Presiden Macma, Prof. Dr. Taufiq Yap Yun Hin.
Mujahid diminta mengulas kes Prasana yang masih bayi ketika diambil bapanya, Muhammad Riduan Abdullah seorang mualaf yang menukar agama dirinya serta anak-anak tanpa mendapat persetujuan ibunya, M. Indira Gandhi pada 2009.
Walaupun waran tangkap telah dikeluarkan ke atas Muhammad Riduan namun sehingga hari ini polis gagal mengesan lelaki berkenaan termasuk anaknya yang dipercayai kini berusia 11 tahun. – UTUSAN ONLINE










