KUALA LUMPUR 25 Feb. – Cadangan kerajaan untuk menghapuskan kutipan tol dari pukul 11 malam hingga 5 pagi tidak akan memberi kelebihan kepada pengusaha syarikat pengangkutan, yang setakat ini berkemungkinan besar tidak akan mengubah suai jadual penghantaran mereka kepada waktu berkenaan.
Presiden Persatuan Haulier Malaysia, Datuk Nazari Akhbar berkata, ini kerana pengusaha syarikat pengangkutan bakal menanggung beban dalam bentuk bayaran insentif khas kepada pemandu untuk melaksanakan penghantaran dalam tempoh tersebut.
Nazari berkata, selain itu syarikat pengangkutan perlu bergantung kepada kilang atau pihak pelanggan yang rata-ratanya menjalankan operasi pada waktu pejabat iaitu antara pukul 9 pagi

hingga 6 petang.
“Kami perlu hantar barang mengikut waktu pejabat sebelum pukul 6 petang kerana pihak pengilang atau pelanggan menjalankan operasi dalam waktu itu. Kami keluar awal pagi jika ada penghantaran khas dan paling lama mereka (pemandu) boleh bekerja hingga pukul 12 tengah malam.
“Selain itu, pemandu juga perlu dibayar dengan insentif khas dan mereka juga perlu berehat secukupnya. Pukul 12 tengah malam hingga 5 pagi adalah masa untuk ‘park’ lori,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Pejabat Perdana Menteri kelmarin mengumumkan cadangan memansuhkan kutipan tol dan menggantikannya dengan caj kesesakan pada waktu puncak serta mengenakan diskaun 30 peratus pada waktu biasa dan bebas tol dari pukul 11 malam hingga 5 pagi di empat lebuh raya iaitu Lebuh Raya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint), Lebuh Raya Shah Alam (Kesas) dan Terowong Smart.
Dalam pada itu, Pakar Kejuruteraan Lalu Lintas dan Pengangkutan, Prof. Dr. Othman Che Puan berkata, kerajaan perlu melakukan kajian secara terperinci sama ada perubahan itu akan memberi kebaikan untuk keselamatan pengguna jalan raya atau sebaliknya.
Menurutnya, ini disebabkan perubahan waktu operasi syarikat pengangkutan yang mungkin meminda jadual perjalanan bagi mengambil peluang mengurangkan kos operasi mereka.
“Jika ini berlaku, kemungkinan akan berlaku perubahan corak perjalanan kenderaan perdagangan di lebuh raya bertol,” ujarnya.










