HULU LANGAT 24 Feb. – Pakatan Harapan (PH) tidak memaksa Tok Batin Kampung Sungai Lalang Baru untuk membaca teks ucapan yang disediakan kepadanya dalam satu majlis petang tadi.
Timbalan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Aleh Abdullah, 53, berhak untuk tidak membaca teks ucapan berkenaan.
“Tak ada paksaan. Itu terserah kepada dia nak baca teks. Terserah kepada dia. Itu hak dia,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Rapat Rakyat Semenyih di Pangsapuri Baiduri, Bandar Tasik Kesuma, di sini malam ini.
Beliau diminta mengulas isu Aleh yang kecewa kerana dipaksa membaca teks ucapan memuji-muji PH pada satu majlis di sini petang tadi.
Majlis berkenaan adalah Sembang Santai Bersama Timbalan Presiden PH.
Aleh memberitahu, teks tulisan tangan itu disediakan oleh pihak lain yang dipercayai diberikan bekas pegawai Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).
Ketika ditanya rancangan PH yang akan menganjurkan program pemberian hamper dan hadiah kepada Orang Asli pada Selasa ini, Muhyiddin berkata,itu hanya satu andaian.
“Ia ‘akan’. Belum berlaku lagi. Itu andaian. Saya tak tahu,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE










