KUALA LUMPUR 6 Feb. – Kementerian Pendidikan menegaskan laporan portal Malaysiakini mengenai dakwaan seorang bapa yang anaknya beragama Hindu dipaksa mengambil subjek Pendidikan Islam adalah tidak benar sama sekali.
Sebaliknya, hasil semakan Kementerian Pendidikan mendapati murid tersebut yang kini berumur sembilan tahun telah mengikuti subjek Pendidikan Moral sejak masuk ke alam persekolahan pada 2017.
Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Amin Senin menjelaskan, pihak sekolah telah membenarkan murid tersebut mengikut kelas Pendidikan Moral selepas bapa kanak-kanak itu memberi maklumat awal tanpa mengemukakan sijil kelahiran.
“Berdasarkan maklumat tersebut, pihak sekolah menganggap murid berkenaan beragama Hindu dan atas kategori tersebut, dia dibenarkan mengikuti kelas Pendidikan Moral.
Untuk rekod, dia telah diberi kelulusan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan pada 2017 untuk didaftar sebagai murid tanpa dokumen. Bagaimanapun, sehingga sekarang ibu bapa murid ini gagal memberi sijil kelahiran sebagaimana disyaratkan dalam kelulusan pada 2017,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Isnin lalu, portal Malaysiakini melaporkan seorang pemandu perkhidmatan e-hailing mendakwa anak perempuannya yang beragama Hindu dipaksa mengikuti mata pelajaran Pendidikan Islam di sekolah.
Menurut laporan tersebut, hal itu berlaku walaupun ibu kepada anak perempuannya itu memutuskan untuk keluar daripada agama Islam dan masih dalam proses rayuan di mahkamah. -UTUSAN ONLINE










