KUALA LUMPUR 21 Feb. – Bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengalu-alukan hasil siasatan daripada Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) berhubung urus niaga 16 projek pertukaran tanah (land swap) sekali gus menyebabkan kerugian sebanyak RM500 juta kepada Kementerian Pertahanan.
Sehubungan itu, Hishammuddin turut bersedia untuk disiasat kerana yakin tidak menyembunyikan apa-apa sepanjang menjawat jawatan sebagai Menteri Pertahanan selama lima tahun sejak 2015 hingga 2018.
Hishammuddin malah mahu siasatan turut dijalankan terhadap kesemua bekas Menteri Pertahanan sejak tahun 1997 mengikut kepada lunas undang-undang.
“Saya sentiasa konsisten sejak dahulu lagi dan tidak pernah berselindung. Saya juga tidak menyembunyikan apa-apa.
“Bukan lagi rahsia bahawa matlamat utama kerajaan Pakatan Harapan (PH) ketika ini adalah untuk menggali seberapa banyak yang boleh untuk mencari kesalahan kerajaan terdahulu dan bukannya mahu mentadbir negara.
“Penemuan ini hanyalah untuk mengalih perhatian rakyat sedangkan mereka tidak langsung melakukan yang terbaik,” katanya dalam akaun Facebook miliknya, hari ini.
Kelmarin, Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dilaporkan berkata, kerugian bernilai RM500 juta itu terdedah hasil siasatan yang dibentangkan JKSTUPKK yang dipengerusikan Tan Sri Ambrin Buang 28 Januari lalu dengan laporan siasatan berkenaan kemudian dibentangkan dan diterima Mesyuarat Jemaah Menteri pada 13 Februari lalu. – UTUSAN ONLINE










