Terus kerjasama dengan UMNO, Pas - Utusan Malaysia

Terus kerjasama dengan UMNO, Pas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG
DEWAN Pemuda Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) mendukung aspirasi Gagasan Sejahtera yang wujud sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). Ini jelas dibuktikan dengan keakraban dan kesefahaman yang wujud antara Dewan Pemuda Ikatan bersama-sama Dewan Pemuda Pas dan Pemuda Berjasa merangkumi apa jua program politik dan aktiviti anak muda sejak PRU-14 sehingga ke hari ini.

Selepas PRU-14, kami masih bersama-sama berkempen untuk calon pembangkang di beberapa pilihan raya kecil (PRK) sebelum ini apabila berkongsi satu pentas mewakili suara pembangkang.

Dewan ini bersama-sama Pemuda Gagasan Sejahtera dan Pemuda UMNO telah terlibat secara langsung dalam program-program penting seperti himpunan menentang ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Me­ngenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), forum ekonomi dan Belanjawan 2019, ceramah bergerak peringkat negeri dan turut menyantuni Muktamar Pas serta Perhimpunan Agung UMNO.

Sememangnya dua parti tunjang negara, Pas dan UMNO, mempelopori dunia politik tanah air. Syabas dan setinggi penghargaan diucapkan kepada sahabat saya, Muhammad Khalil Abdul Hadi yang juga Ketua Dewan Pemuda Pas yang sentiasa memberikan peluang kepada pihak kami untuk bersama-sama menyumbang idea dan tenaga demi kekuatan ummah anak muda dalam Gagasan Sejahtera.

Ingin ditegaskan bahawa perjuangan parti kita adalah jelas iaitu untuk menjadi parti yang berwibawa dalam menyemak dan mengimbangi dasar-dasar kerajaan pada hari ini. Dewan Pemuda Ikatan akan terus menegur apa jua kepincangan yang berlaku dalam dasar-dasar pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan yang didukung oleh DAP serta parti-parti lain.

Adalah jelas bahawa Ikatan bukanlah parti yang mendampingi parti kerajaan yang berkuasa semata-mata. Bukti-bukti teguran terhadap dasar kerajaan Pakatan Harapan oleh Dewan Pemuda Ikatan boleh diperoleh dalam siaran akhbar.

Kesejahteraan rakyat adalah misi utama kami. Perjuangan Dewan Pemuda Ikatan adalah perjuangan untuk rakyat, bukan bersifat peribadi.

SHAHIR ADNAN
Ketua Pemuda Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN