Di satu sudut ruang pameran, kelihatan seorang wanita khusyuk memerhatikan sekeping gambar yang dipamerkan.
Sebaik sahaja didekati, rupa-rupanya gambar yang dilihat oleh wanita itu merupakan gambar dirinya sendiri yang sedang tersenyum di samping anak perempuannya.
Memperkenalkan dirinya sebagai Citra Dewi, 47, gambar itu menggambarkan kisah hidupnya bergelar pesakit kanser.
Saat disahkan doktor menghidap kanser payudara tahap dua pada Disember 2016, di fikirannya hanyalah tentang kesakitan, keperitan, kesengsaraan serta kematian.
Bagaimanapun, memikirkan anak kecilnya yang masih memerlukan seorang ibu, dia berazam untuk terus kuat dan tanpa berfikir panjang, Citra bersetuju untuk menjalani pembedahan membuang payudara yang dijangkiti.
“Selepas sebulan pembedahan, saya mula menjalani rawatan kemoterapi selama enam kali dan seterusnya radioterapi sebanyak 15 kali. Rawatan itu berlangsung sejak Februari hingga Ogos 2017.
“Dalam tempoh rawatan tersebut, pelbagai dugaan dilaluinya seperti keguguran rambut, tubuh yang kurus termasuklah kesakitan namun semua itu terus ditempuhi sehinggalah berjaya seperti dirinya sekarang,” katanya ketika ditemui K2 di Balai Seni Negara, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Tidak mahu kisahnya menghadapi cabaran itu dipendam sendiri, Citra mula melibatkan diri dengan pelbagai program kesukarelawan untuk memberi kesedaran kepada ramai pihak tentang penyakit kanser.
Boleh dikatakan dalam sebulan, dia akan mengikuti beberapa program yang dijalankan oleh pelbagai badan bukan kerajaan seperti Cancer Wellness Group (CanWell) dan pelbagai lagi.
Hitam putih
Tambah mengujakan Citra apabila dia didatangi pihak CanWell yang mahu merakamkan gambarnya untuk dipamerkan dalam sebuah pameran fotografi bertemakan kanser.
Pameran gambar bertajuk Outshine itu berlangsung selama sebulan yang berakhir pada 15 Februari lalu.
Ia merupakan anjuran CanWell, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia bersama bekas jurugambar European Pressphoto Agency (EPA), Ahmad Yusni Mohammad Said.
Pameran itu menampilkan 24 keping gambar yang ditonjolkan dengan dua konsep berbeza iaitu berwarna hitam dan putih sahaja.
Daripada 24 gambar tersebut, sebanyak 14 gambar berwarna merupakan gambar 14 orang pejuang kanser yang masih mampu tersenyum dalam melawan penyakit tersebut manakala 10 keping lagi gambar hitam putih adalah untuk menunjukkan sisi gelap dihadapi pesakit kanser.
Setiap foto yang dipamerkan datang bersama cerita pendek yang bagi mengubah perspektif orang ramai terhadap kanser.
Seorang lagi pesakit, Mohd. Faizul Rahmat, 18, berkata, kehidupannya sebelum ini sama sahaja seperti kanak-kanak yang lain namun ia mula berubah selepas disahkan menghidap barah otak kira-kira tiga tahun lalu iaitu ketika di tingkatan tiga.
Penyakitnya itu mula diketahui selepas berdepan dengan kemalangan motosikal dan seterusnya dimaklumkan oleh doktor yang menjalankan pemeriksaan.
Sejak hari itu, kehidupannya hanya dihabiskan di hospital sambil ditemani ibunya sehingga dibenarkan keluar pada penghujung tahun lalu.
Sebaik sahaja diberitahu oleh ibunya bahawa pihak CanWell mahu merakamkan gambarnya atas kejayaannya menempuh penyakit tersebut, Mohd. Faizul memilih untuk bergambar bersama raket kesayangannya yang dihadiahkan oleh jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei.
Ujarnya, Chong Wei merupakan idolanya sejak zaman kanak-kanak dan menjadi sumber inspirasi serta pembakar semangatnya.
“Disebabkan itu, saya memutuskan untuk bergambar bersama raket pemberiannya. Hal ini adalah untuk menunjukkan kepada sesiapa yang melihat gambar tersebut bahawa semangat saya untuk sembuh tidak pernah padam.
Gembira
“Hari ini adalah kali pertama saya melihat gambar yang dirakamkan itu. Saya sangat gembira kerana mampu menjadi contoh kepada mereka yang sedang bertarung melawan penyakit kanser ini,” ujarnya tersenyum.
Kanser adalah penyakit yang disebabkan oleh pertumbuhan tidak terkawal sel-sel yang tidak normal atau abnormal di dalam badan yang berpunca daripada kegagalan sistem imun berfungsi dengan baik.
Statistik Kementerian Kesihatan Malaysia tahun lalu mendapati kira-kira 19,000 daripada 100,000 rakyat Malaysia menghidap pelbagai jenis kanser.
Terdapat puluhan jenis kanser yang dilaporkan tetapi yang paling banyak dihidapi dalam kalangan rakyat Malaysia ialah kanser payudara, usus, paru-paru, pangkal hidung, serviks dan limforma.
Antara punca yang membolehkan seseorang itu menghidap kanser ialah tabiat merokok, pemakanan, genetik, jangkitan kuman dan radiasi.
Penghidap kanser boleh dirawat melalui beberapa kaedah seperti pembedahan, kemoterapi dan radioterapi namun disebabkan kurangnya kesedaran terutamanya dalam mengenal pasti masalah itu pada peringkat awal menyebabkan penyakit itu menjadi penyebab kedua tertinggi kematian dalam kalangan rakyat Malaysia.
Sementara itu, Ahmad Yusni berkata, 10 keping gambar hitam putih yang turut dipamerkan itu merupakan gambar arwah adiknya iaitu Mohamad Sani yang berjuang melawan kanser dalam tempoh 39 hari terakhirnya pada 2013 lalu.
Kata Ahmad Yusni, gambar arwah adiknya itu pernah tular di media sosial pada 2014 namun tidak pernah dipamerkan secara terbuka kepada umum.
Bagaimanapun ujarnya, pada tahun 2017 lagi, dia telah didatangi oleh pasukan CanWell yang mahu berkolaborasi untuk mempamerkan gambar tersebut sebagai pendedahan kepada orang ramai mengenai realiti kanser namun pada Oktober tahun lalu baru penggambaran projek itu dapat dijalankan.
Projek komuniti
“Saya bersetuju tetapi tidak mahu sekadar meletak gambar arwah adik saya sahaja kerana ia pasti akan melemahkan semangat mereka yang sedang berdepan dengan penyakit tersebut.
“Jadi kami memutuskan untuk mempamerkan hanya 25 peratus jumlah gambar hitam putih manakala 75 peratus lagi merupakan gambar berwarna. Daripada situlah saya akhirnya merakamkan 14 gambar pesakit kanser yang kini mampu tersenyum dalam menghadapinya,” ujarnya.
Pengurus Bersama Pameran Outshine, Dr. Nora Aniza Azmi berkata, pameran itu merupakan satu projek komuniti yang diadakan bagi menunjukkan sokongan terhadap usaha pencegahan kanser.
Jelasnya, dengan erti kata lain, projek itu adalah program kesedaran untuk mendedahkan orang ramai bagaimana individu-individu yang berdepan dengan penyakit tersebut mendapat kekuatan untuk terus mengharungi hari-harinya.
“Pameran Outshine bersama Ahmad Yusni bukanlah satu pameran kanser dan penyakit semata-mata tetapi adalah untuk menonjolkan kecintaan kepada kehidupan dan kemanusiaan.
“Projek ini juga adalah untuk menunjukkan emosi mereka yang berdepan dengan kanser dan memerlukan sokongan, kekuatan serta ketahanan hidup,” terangnya.
Pameran fotografi Outshine pamer realiti kehidupan penghidap kanser.









