LONDON 26 Feb. – Claude Puel berterima kasih selepas diberi peluang untuk mengurus Leicester namun jodohnya tidak panjang apabila dipecat pada minggu lalu.
Jurulatih dari Perancis itu hanya membimbing Leicester selama 16 bulan apabila dia dipecat setelah pasukannya tewas 1-4 kepada Crystal Palace sekali gus menjadi kekalahan keenam The Foxes dalam tujuh perlawanan.
Leicester turut tersingkir daripada saingan Piala FA selepas tewas kepada Newport malah mereka berada di tangga ke-12 liga, lapan mata di atas zon penyingkiran.
“Saya mahu bertima kasih kepada semua orang yang telah bekerjasama dengan saya sepanjang di Kelab Bola Sepak Leicester City. Satu penghargaan apabila dapat bekerjasama dengan pemain, staf dan pengurusan kelab ini.
Satu penghargaan juga apabila saya diberi peluang untuk bekerja di bawah mendiang Vichai Srivaddhanaprabha yang memberi peluang untuk mengurus kelabnya serta berkongsi beberapa detik istimewa bersama dengannya.
“Misi saya bersama Leicester tamat di sini, saya mengucapkan selamat maju jaya kepada kelab ini di masa depan,” katanya.
Puel menjadi pengurus kelima yang dipecat musim ini selepas Slavisa Jokanovic dari Fulham, Mark Hughes (Southampton), Jose Mourinho (Manchester United) dan David Wagner (Huddersfield). – AFP









